Malaysia Berita

Pahang Umum Pemain Ahad Ini

Pahang bakal mengadakan satu majlis bagi memperkenalkan para pemain baharu pasukan Tok Gajah pada Ahad ini. Turut diadakan pada majlis tersebut adalah perasmian jersi baru pasukan daripada Pantai Timur.

Perkara ini disahkan oleh Pengurus Besar Pemasaran Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd, Mizal Ghazali. Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, Mizal Ghazali mengalu-alukan kehadiran para penyokong skuad Tok Gajah bagi memeriahkan majlis tersebut.

“Bermula musim ini dan 2020, Al-Ikhsan Sport menjadi penaja kepada Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) dengan jumlah keseluruhan tajaan RM1.6 juta iaitu RM800,000 bagi satu musim.

“Sebanyak 90 peratus nilai tajaan berkenaan lebih kepada barangan sukan berjenama Umbro yang diharap dapat membantu Pahang melakar kejayaan membanggakan musim ini.

“Sebenarnya, Al-Ikhsan Sport sudah lama ingin bekerjasama dengan PBNP dan terima kasih di atas persetujuan yang diberikan,” katanya kepada Berita Harian.

Pahang dibarisi oleh Dickson Nwakaeme, bekas pemain penyerang yang pernah memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada tahun 2014 bakal kembali untuk memberi saingan Liga Malaysia musim ini.