Luar Negara Berita

Alex Ferguson Hulurkan Bantuan Dapatkan Khidmat Solskjaer dan Phelan

Gandingan Ole Gunner Solskjaer dan Mike Phelan memberi impak yang positif selepas Manchester United berjaya menunjukkan permainan sebenar mereka dengan membelasah Cardiff 5-1, Sabtu lalu.

Solskjaer adalah bekas penyerang United manakala Phelan adalah bekas penolong jurulatih kepada Sir Alex Ferguson sebelum beliau bersara. Kedua-dua mereka menjadi pilihan Sir Alex Ferguson dalam menggemudi United setelah Jose Mourinho dipecat.

Naib Pengerusi Eksekutif kelab itu, Ed Woodward yang dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan pengganti setelah kegagalan David Moyes, Louis van Gaal dan Mourinho dikatakan meminta bantuan daripada Alex Ferguson dalam mendapatkan pengurus sementara bagi baki musim 2018/2019.

Sumber kelab memberitahu: “Selepas Woodward mengadakan perbincangan dengan keluarga Glazers dengan memaklumkan mahu memecat Mourinho, beliau perlu memastikan memperoleh calon yang tepat untuk sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek.

“Ferguson kemudian membantu untuk mendapatkan Solskjaer dan Phelan.”

Untuk rekod, Solskjaer diambil secara pinjaman selama enam bulan dari kelab Norway, Molde, manakala Phelan pula diambil daripada kelab Australia, Central Coast Mariners.