Malaysia Berita

FAM Perlu Sediakan Dana Lebih Besar Jika Mahu Tan Cheng Hoe Kekal

Tan Cheng Hoe yang telah membawa Malaysia mara ke pentas final Piala AFF selepas kali terakhir berbuat demikian adalah pada tahun 2014. Biarpun skuad kendalian beliau tewas kepada Vietnam yang menduduki ranking ke-100 dunia. Cheng Hoe telah berjaya menunjukkan falsafah permainan beliau yang berjaya diterapkan kepada pemain.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berpendapat bahawa Tan Cheng Hoe seharusnya dikekalkan sebagai pengendali skuad kebangsaan. Tetapi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus mengeluarkan dana bagi Tan Cheng Hoe keluar menimba ilmu kejuralatihan.

Ia bagi meningkatkan kebolehan Tan Cheng Hoe yang bakal membuat persedian bagi kempen kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia tahun hadapan.

“Pada pendapat saya, berdasarkan pencapaian di Piala AFF, Cheng Hoe harus dikekalkan. Ini bukan kerana skuad Harimau Malaya mencapai sasaran layak ke final tapi saya melihat motivasi tinggi pemain dan keharmonian yang berjaya dipupuk pengendali itu dalam pasukan.

“Dan jika FAM mahu menawarkan kontrak baharu, FAM perlu bersedia untuk melabur ke atasnya, maksudnya di sini adalah menambah ilmu jurulatih itu dengan menghantarnya menyertai kursus atau latihan dengan pasukan di luar negara.

“Saya yakin dengan pelaburan itu akan membantu Cheng Hoe menyediakan pasukan lebih baik pada masa akan datang,” kata Serbegeth kepada Sukan NSTP.

Mengulas lanjut mengenai falsafah Tan Chen Hoe pada skuad kebangsaan, Serbegeth berpendapat Cheng Hoe perlu pelbagaikan lagi cara permainan beliau dan perlu lebih peka dalam memilih pemain yang akan mewakili negara.

“Pada saya, Cheng Hoe perlu ada dua cara permainan, kita tidak boleh main ‘satu lagu’ saja. Bila satu cara tak boleh, kita boleh tukar cara lain untuk mengatasi lawan.

“Selain itu, beliau perlu menambah senarai pemain untuk memastikan lebih ramai pilihan pemain yang boleh bersaing dalam kesebelasan utama,” katanya yang kini menjadi pengkritik di televisyen antarabangsa.