Kajian & Analisis

Piala AFF Suzuki 2018 : Ramalan Kesebelasan – Malaysia vs Vietnam (Analisa Praperlawanan)

Malaysia menghadapi misi sukar pada perlawanan akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi apabila perlu menjaringkan gol lebih awal untuk memberi kedudukan selesa setelah Vietnam seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Anak buah Park Hang-seo mempunyai kelebihan dengan gol di tempat lawan.

Jaringan sendiri oleh pemain pertahanan negara, Shahrul Saad dan cubaan deras Pham Duc Huy dari luar kotak penalti memberi mereka kedudukan yang selesa biarpun Shahrul Saad menebus kembali kesilapan beliau menanduk masuk gol pertama negara bagi mengurangkan jurang gol sebelum Safawi Rasid menutup mulut pengkritik dengan gol penyamaan dengan satu sepakan percuma yang cantik.

Tan Cheng Hoe pasti mengekalkan kesebelasan utama beliau di jabatan tengah dan penyerang manakala dibahagian pertahanan, Tan Cheng Hoe bakal membuat pertukaran dengan membawa kembali pertahanan berpengelaman negara, Aidil Zafuan dan kedua-dua pertahanan sayap negara dilihat bakal diisi kembali oleh Syahmi Safari yang kembali setelah pergantungan dan Syazwan Andik yang pulih daripada kecederaan.

Berikut adalah pemain-pemain yang bakal diletakkan oleh Tan Cheng Hoe ;

Farizal Marlias

Kemampuan beliau dalam membaca pergerakan lawan menjadikan beliau antara yang terbaik bagi mengawal gawang gol negara. Aksi beliau menepis beberapa cubaan dalam situasi satu lawan satu adalah aksi terbaik beliau sepanjang kempen Piala AFF. Biarpun terlepas dua gol yang memberi kelebihan kepada Vietnam, aksi beliau harus mendapat pujian.

Syahmi Safari

Beliau yang digantung selepas menerima kad merah pada perlawanan dengan Thailand minggu lalu bakal kembali mengisi kesebelasan utama Malaysia. Pemain paling konsisten untuk skuad Harimau Malaya ini bakal menggunakan kepantasan beliau dalam naik menyerang dan turun bertahan pada pertemuan dengan Vietnam hari ini. Rajin, tenang, tahu membaca lawan adalah antara kelebihan beliau. 

Credit – e.vnexpress.net

Aidil Zafuan

Pertahanan tengah negara bakal dipimpin kembali oleh Aidil Zafuan, pemain pertahanan berpengelaman kelab Johor Darul Ta’zim (JDT). Dikira sebagai pemain paling keras diatas padang menjadikan beliau antara pemain yang paling terasa kehilangannya sewaktu beliau terpaksa dikeluarkan pada perlawanan bertemu Thailand lalu. Irfan Zakaria yang dimasukkan menggantik beliau masih gagal menunjukkan yang beliau dapat memberi persembahan yang baik kepada penyokong negara. Kembalinya beliau adalah suntikan semangat buat anak buah Tan Cheng Hoe.

Shahrul Saad

Seperti Syahmi Safari, pertahanan muda skuad The Bos Gaurus ini juga adalah pemain paling konsisten pada kempen Piala AFF Suzuki. Nasib tidak menyebelahi beliau apabila menjaringkan gol sendiri pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil. Shahrul Saat bangkit kembali dengan menjaringkan gol pertama negara. Beliau yang bakal kembali bekerjasama dengan pasangan beliau, Aidil Zafuan pasti akan menguatkan kembali jabatan pertahanan.

Syazwan Andik

Beliau yang dilaporkan cedera bakal kembali mengisi ruang yang ditinggalkan Nazirul Naim setelah beraksi cemerlang pada pertemuan dengan Thailand. Apa yang merisaukan tentang Syazwan adalah permainan beliau yang tidak konsisten apabila senang ditembus lawan. Diharapkan beliau dapat memberi satu persembahan yang baik pada aksi akhir hari ini.

Akram Mahinan

Kesilapan beliau dalam menutup ruang dengan pantas digunakan oleh pemain sayap Vietnam, Pham Duc Huy menjaringkan gol kedua buat skuad Golden Dragon. Akram perlu kekal konsisten dalam membantu pertahanan negara pada perlawanan akhir kedua di Hanoi nanti. Fokus dan berdisiplin adalah teras utama seorang pemain tengah bertahan. 

Syamer Kutty

Tan Cheng Hoe meletakkan beliau sebagai pemain tengah dalam role yang bebas. Beliau bebas untuk naik dan turun dalam membantu bahagian pertahanan dan serangan negara. Biarpun beliau datang dari sistem pemain tengah bertahan, Syamer Kutty telah membuktikan bahawa beliau juga boleh bertindak sebagai pemain tengah menyerang.

Mohamadou Sumareh

Pemain naturalisasi pertama negara, Sumareh menunjukkan peningkatan pada permainan beliau dan antara pemain yang paling berbahaya diatas padang. Larian dan kekuatan fizikal beliau menjadikan pemain ini paling dikawal oleh pertahanan Vietnam. Bekas pengendali Perak, Datuk M. Karathu dalam satu kenyataan mencadangkan bahawa Sumareh diletakkan sebagai pemain penyerang menggantikan Zaquan Adha.

Safawi Rasid

Dikritik peminat bolasepak pada mulanya. Beliau bangkit untuk memberi jaringan penyamaan disaat-saat Malaysia memerlukan gol. Pemain yang pantas ini menggunakan kaki kiri beliau dengan baik dalam mengelecek pemain lawan. Gol pertama pada beliau untuk kempen Piala AFF boleh digunakan sebagai pencetus semangat menjelang pertemuan dengan Vietnam pada hari ini.

Norshahrul Idlan Talaha

Antara pemain senior negara, Norshahrul telah menjaringkan 5 gol sepanjang kempen ini berlangsung. Bekas pemenang Piala AFF edisi 2010 ini menggunakan pengalaman luas beliau beraksi bersama skuad negara dengan persembahan yang baik. Telah menjaringkan beberapa gol penting sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018. Bisa Norshahrul ditagih kembali pada perlawanan menentang anak buah Park Hang-seo.

Zaquan Adha

Bekerjasama bersama Norshahrul, kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha diletakkan sebagai penyerang sasaran oleh pengendali negara. Zaquan perlu lebih tenang dalam mengawal bola dan tidak merugikan beberapa hantaran. Beliau yang berpasangan dengan Norshahrul dilihat mampu untuk meletakkan Malaysia dikedudukan yang selesa menjelang perlawanan dengan Vietnam hari ini.