Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Pemain Diingatkan Agar Tidak Mengulangi Kesilapan

Pemain skuad Harimau Malaya diingatkan agar tidak mengulangi peristiwa hitam Piala AFF Suzuki edisi 2016 selepas tersingkir awal daripada peringkat kumpulan.

Malaysia yang akan melayan kunjungan Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini. 

Myanmar adalah pasukan yang bertanggungjawab menghantar Malaysia pulang awal pada Piala AFF Suzuki edisi 2016 setelah Myanmar menewaskan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu 0-1 di Yangon. 

Justeru, jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya menggunakan kesempatan bermain di laman sendiri serta dihadapan penyokong sendiri untuk misi kalah mati bagi menghidupkan peluang untuk ke peringkat seterusnya.

“Kami kena kekalkan corak permainan dan mungkin kena ubah sikit. Kami perlu elak dibolosi gol dan pada masa sama pemain mengubah mentaliti daripada bermain secara bertahan kepada menyerang.

“Jentera serangan mesti lebih tenang dalam melakukan penyudah dan apa yang penting dalam masa tidak sampai seminggu ini kami akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan ke atas Myanmar.

“Memang 2016 edisi berlainan dengan suasana pemain juga sudah berbeza. Kali ini kami perlu gunakan kesempatan bermain di laman sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai hari ini.

Skuad negara telah bermain tiga perlawanan peringkat Kumpulan A dengan mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan di tangan Myanmar.

Myanmar yang akan menentang Vietnam hari ini akan turun dengan harapan untuk menang bagi menghidupkan peluang mereka ke peringkat seterusnya ,manakala Malaysia pasti mengharapkan Vietnam dapat menewaskan Myanmar bagi memudahkan misi Malaysia di Bukit Jalil nanti.

Harimau Malaya yang turun menjalani latihan setelah diberi rehat selepas pulang daripada Vietnam dilihat lebih bermotivasi dan bersedia untuk menghadapi lawan.

“Selepas tiga perlawanan, saya amat berpuas hati dengan permainan kami dan sebagai jurulatih saya tidak boleh jelaskan dengan lebih mendalam mengenai taktikal.

“Pemain cukup bermotivasi bila bermain di Bukit Jalil, ia akan menjadi pemangkin semangat buat mereka. Tapi saya tidak mahu pemain berasa tertekan dengan kehadiran penyokong yang ramai,” katanya.