Malaysia Berita

Hasnul Kecundang, Akui Tidak Tahan Dengan Tekanan

Selepas didesak berhari-hari sejak daripada eksiden sambutan perarakan Piala Malaysia yang tiada orang, meletakkan Piala Malaysia di celah kangkang, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai presiden persatuan itu, semalam.

Beliau yang membuat pengumuman mengejut pada sidang media selepas Mesyuarat Eksekutif PAFA, menyatakan alasan beliau adalah untuk memberi sepenuh tumpuan kepada hal ehwal politiknya  sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang memegang jawatan Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong.

Hasnul Zulkarnain yang belum menyerahkan surat perletakkan jawatan secara rasmi turut menyatakan bahawa selepas eksiden terbabit, beliau merasa sedikit terganggu dan tidak dapat membuat kerja dengan baik.

“Lima bulan (memegang jawatan) tempoh sangat mencabar, Allah berikan saya peluang untuk menguruskan sebuah pasukan yang digilai ramai orang.

“Jika masih ingat masa sidang media pertama saya (selepas memegang jawatan Presiden PAFA), saya menyatakan ingin membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, saya berjaya membawanya sehingga Perak muncul juara.

“Saya menilai dalam tempoh seminggu dua ini, kerja saya sedikit terganggu (selepas kes cara mengendalikan trofi Piala Malaysia), bagaimanapun saya terus beri fokus pada PAFA,” katanya kepada Berita Harian.

Hasnul yang menggantikkan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sebagai Presiden PAFA mencetuskan kemarahan ramai orang berikutan cara beliau mengendalikan Piala Malaysia. 

Setelah kemenangan ke atas Terengganu FC, beliau memuat naik beberapa gambar bersama Piala Malaysia dan para peminat mengandaikan bahawa beliau tidak menghormati piala berprestij tersebut kerana mengendalikannya bukan dengan cara terhormat.

Selain daripada itu, Hasnul turut mengakui keputusan beliau untuk meletakkan jawatan adalah disebabkan telah menjadi mangsa buli siber apabila semua laman sosialnya dihentam dengan pelbagai komen daripada netizen selepas berlakunya kejadian terbabit.

Hasnul juga yang didesak beberapa bekas pemain Perak untuk melepaskan jawatan kelihatan mengalirkan air mata selepas sidang media terbabit.