Malaysia Berita

Tiada Siapa Pengaruhi Keputusan Saya – Safiq Rahim

Bekas kapten pasukan negara dan Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim meminta para peminat bolasepak agar menghentikan sebarang spekulasi yang melibatkan pemergian beliau dari kelab dari selatan itu. 

Menulis di laman Instagram miliknya, beliau menyatakan bahawa tiada pihak yang mempengaruhi keputusannya.

“Saya ingin tegaskan di sini, tiada apa-apa atau sesiapa yang mempengaruhi pemergian saya dari JDT.

“Tidak ada kena mengena dengan sesiapa, ia adalah keputusan bersama demi kepentingan kelab dan saya sendiri.

“Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi sendiri hingga memburukkan keadaan antara dua pihak,” katanya dipetik daripada Instagramnya hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa beliau akan kembali bersama JDT di masa akan datang.

“Jika ada rezeki saya akan kembali kerana JDT sentiasa membuka pintu kepada saya dan pemain yang lain untuk kembali.

“Saya berterima kasih kepada kelab terutama sekali Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempercayai saya selama ini banyak membantu saya dan keluarga saya.

“Enam tahun mungkin tak cukup untuk saya balas budi baik Tunku dan JDT,” katanya.

Safiq Rahim adalah antara pemain yang terlibat dalam transformasi pasukan daripada selatan itu juga mengucapkan penghargaan kepada para pemain dan penyokong pasukan JDT.

“Terima kasih semua termasuk penyokong Merah Biru,” katanya.