Luar Negara Berita

Ketiadaan Honda Tak Jejas Pasukan – Felix Gonzalez

Dengan ketiadaan pengurus pasukan, Keisuke Honda pada aksi pembukaan Kumpulan A, Piala AFF pada perlawanan Malaysia bertemu Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh, hari ini tidak akan menjejaskan pasukan.

Bercakap kepada media, jurulatih Kemboja, Felix Gonzalez yakin dengan kemampuan anak buahnya dalam misi untuk menumpaskan Malaysia pada perlawanan pertama malam ini. 

Tambah beliau lagi, walaupun Keisuke Honda mempunyai komitmen lain selain daripada mengurus pasukan Kemboja, lagenda Jepun itu juga memainkan peranan ke atas persediaan pasukan dalam menghadapi Piala AFF 2018.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, ”beliau (Honda) tidak akan bersama pasukan pada perlawanan pertama ini, memang Keisuke Honda penting kepada pasukan, tapi beliau masih membantu dan kami saling berhubung. Beliau tahu apa yang berlaku dalam pasukan.

“Memang agak berbeza tanpanya kali ini tapi saya tak fikir ia akan menjejaskan kami,” katanya.

Keisuke Honda pemain lagenda Jepun itu masih mempunyai kontrak sebagai pemain dengan pasukan daripada Liga Australia, Melbourne Victory dan kehadiran beliau ke rantau ASEAN telah menciptakan fenomena baru ke atas bola sepak Kemboja.

Manakala Kemboja yang gagal melayakkan diri bersama dengan Malaysia pada Piala AFF edisi 2016 telah mempersiapkan pasukan dengan rapi apabila dibarisi oleh beberapa pemain yang mempunyai keupayaan untuk menghancurkan pertahanan lawan.

“Kami mengadakan latihan yang rapi dan kami tidak sabar untuk beraksi di laman sendiri, kami berharap semua penyokong akan hadir memberikan sokongan.

“Kami memiliki beberapa pemain yang bermain di Malaysia, iaitu liga tahap tinggi, saya tidak tahu sama ada ia akan beri kelebihan kepada pasukan atau tidak, cuma saya berharap mereka dapat membantu pasukan,” kata jurulatih dari Argentina itu kepada Berita Harian.