Malaysia Berita

Malaysia Benam Maldives, Tan Cheng Hoe Umum 23 Pemain Ke Piala AFF Suzuki 2018

Perlawanan Malaysia bertemu Maldives semalam berpihak kepada Malaysia dengan kemenangan 3-0 dimana Maldives tidak menurunkan kesebelasan utama mereka serta tidak dapat berlatih bersama selama enam minggu.

Selain daripada itu, Tan Cheng Hoe menurunkan beberapa muka baru antaranya Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Nor Azam Azih dan Aidil Zafuan Radzak yang tidak berada di dalam pasukan sewaktu tewas dengan Kyrgyzstan pada aksi persahabatan 16 Oktober lalu. 

Malaysia membuka jaringan menerusi Zaquan Adha Radzak pada minit ke-16 setelah menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha untuk melakukan separuh voli.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama dengan anak buah jurulatih daripada Crotia, Petar Segrt beberapa kali mencipta peluang yang gagal disudahkan oleh penyerang mereka serta aksi terbaik penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat yang menyelamat gawang gol.

Pada babak kedua, Tan Cheng Hoe membuat enam pertukaran antaranya dengan membawa masuk Safawi Rasid dalam misi pemburuan gol.

Tuan rumah menambah derita pelawat apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir perlawanan melalui Safawi Rasid pada minit ke-81 dengan satu sepakan tekong yang menarik serta pada minit ke-93 melalui pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh dengan gerakan solo pada minit ke-93.

Perlawanan persahabatan ini adalah salah satu persedian buat skuad Tan Cheng Hoe yang bakal berentap di Piala AFF Suzuki 2018 bermula Khamis ini bertemu Kemboja. 

Selain daripada itu, jurulatih yang berasal daripada Kedah ini, Tan Cheng Hoe juga turut mengumumkan 23 pemain terakhir yang akan beraksi untuk pasukan negara pada Piala AFF nanti dimana menyaksikan tiga pemain telah digugurkan.

Pemain tersebut ialah Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT) serta dua pemain tengah, Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Azzizan Nordin (Sabah).

23 skuad terakhir ini juga diwakili oleh lapan pemain yang pernah beraksi untuk pasukan negara pada Piala AFF edisi 2016 iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.

Untuk rekod, sepanjang Malaysia menyertai kejohanan ini, pasukan negara hanya pernah menang sekali pada 2010 melalui jurulatih Datuk K Rajagopal dimana ketika itu Cheng Hoe adalah penolong ketua jurulatih untuk pasukan negara.

Berikut adalah 23 pemain yang dipilih oleh Tan Cheng Hoe :

Penjaga gol: Farizal Marlias (JDT); Khairul Fahmi Che Mat (Melaka); Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak)

Pemain Pertahanan: Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin (JDT); Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim (Perak); Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur); Muhammad Syahmi Safari (Selangor)

Pemain Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT); Muhammad Akram Mahinan (Kedah); D. Kenny Pallraj (Perak)

Pemain Sayap: Muhammad Safawi Rasid (JDT); Mohd Syazwan Zainon, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah); Mohamadou Sumareh (Pahang)

Penyerang: Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Syafiq Ahmad (JDT); Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur); Norshahrul Idlan Talaha (Pahang); Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (Nakhon Ratchasima)