Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe Harap Pemain Tidak Pandang Mudah Lawan Maldives

Skuad Tan Cheng Hoe akan bertemu Maldives bagi perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum mengumumkan 23 pemain terakhir yang akan membuat penampilan pada Piala AFF Suzuki 2018 yang bermula 8 November ini dengan Malaysia akan bertemu kemboja pada perlawanan pembukaan.

Tan Cheng Hoe mengingatkan pada anak buahnya agar tidak memandang rendah pada Maldives walaupun kedudukan pada ranking dunia melihat Malaysia selesa berada di hadapan.

Bekas jurulatih Kedah ini juga menuntut agar pemainnya memperkemaskan corak permainan serta mencari persefahaman sebagai sebuah pasukan yang mantap.

“Maldives akan memberikan ujian sebenar kepada kita kerana kebelakangan ini, pasukan mereka berada pada tahap yang baik terutamanya selepas baru sahaja memenangi Piala SAFF 2018.

“Tetapi bagi saya apa yang penting adalah pasukan dapat menunjukkan corak permainan seperti yang dirancang. Saya mahu lihat ada peningkatan pada aksi malam esok.

“Jadi, mereka perlu menunjukkan aksi yang lebih kemas berbanding perlawanan sebelum ini. Aksi ini adalah mustahak kerana ia adalah persiapan terakhir kita,” katanya pada Berita Harian di sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Beliau juga turut menyatakan bahawa beberapa pemain baharu akan diuji serta cuba mencari kombinasi terbaik menjelang aksi Piala AFF Suzuki 2018 nanti.

“Beberapa pemain baharu akan diuji dan kami masih cuba mencari kombinasi yang terbaik untuk menghadapi aksi Piala AFF.

“Ini juga untuk memastikan mereka dapat segera menyesuaikan diri dengan pasukan namun dua pemain iaitu Akhyar Rashid dan Kenny Pallraj tidak dapat diturunkan kerana masalah kecergasan,” katanya kepada Berita Harian.