Malaysia Berita

Ken Shellito Meninggal Dunia, Satu Kehilangan Untuk Bolasepak Sabah

Bekas jurulatih Sabah, Ken Shellito, 78 telah menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 7.13 pagi tadi di kediaman keluarganya di Kampung Minintod, Inanam.

Mendiang telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth sebelum ini untuk mendapat rawatan dan dibenarkan untuk pulang ke kediaman mereka. Mendiang sudah mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu dan dilaporkan sering ke hospital untuk mendapat rawatan susulan.

Kenneth John Shellito atau lebih dikenali sebagai Ken Shellitto memulakan kerjayanya sebagai pemain bolasepak di Chelsea, menandatangani kelab itu dari Chelsea Juniors pada usia 17 tahun dan membuat penampilan profesionalnya dua tahun kemudian menentang Nottingham Forest. Beliau membantu Chelsea memenangi promosi dari Divisyen Kedua pada 1962-63. Bagaimanapun,  Shellito mengalami kecederaan lutut serius dan walaupun beberapa cubaan untuk kembali, beliau terpaksa bersara daripada bola sepak.

Selepas bersara, beliau memulakan kerjayanya sebagai jurulatih bolasepak dan pernah membimbing Chelsea (1977-1978), Cambridge United (1985), Kuala Lumpur FA (1994), Perak FA (1995) dan Sabah FA (1998).

Mendiang telah meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan.