Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 4 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia.

Situasi itu membuatkan setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Kali ini, terdapat satu gosip yang mengejutkan daripada bintang terkemuka di dunia. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Yerry Mina

Liverpool kini sedang mempertimbangkan untuk cuba mendapatkan pertahanan Colombia ini. Pemain berusia 23 tahun ini baru sahaja menyertai Barcelona dari Palmeiras pada tahun lalu tetapi dilihat bergelut untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama. Harga Mina mungkin melonjak tinggi selepas dia mempamerkan persembahan hebat di Piala Dunia 2018, menjaringkan tiga gol termasuk sewaktu tewas di tangan England dalam aksi pusingan kedua.

Sergej Milinkovic-Savic

Pemain tengah Serbia ini telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United sejak Januari lalu. Turut berminat dengan khidmat pemain tinggi lampai ini adalah Juventus. Bagaimanapun, United dilihat memiliki kelebihan ketika ini kerana juara Itali itu dilaporkan telah menarik diri daripada cuba mengejar khidmat Milinkovic-Savic.

Benjamin Pavard

Selepas Tottenham Hotspur dilaporkan berminat dengan khidmat pemain bek kanan Perancis ini, Arsenal dan Napoli muncul sebagai nama baru untuk turut mengejarnya. Pemain berusia 22 tahun ini mempamerkan aksi hebat bersama Les Bleus di Russia dan walaupun kelabnya, Stuttgart, menegaskan bahawa dia tidak akan dijual, Napoli tetap mempertimbangkan untuk mencuba nasib dengan memberikan tawaran.

Riyad Mahrez

Manchester City dan Leicester City dilaporkan telah mencapai kata sepakat untuk proses perpindahan Mahrez melalui nilai transaksi berjumlah GBP60 juta. The Foxes sebelum ini berkeras mahukan harga tidak kurang daripada GBP75 juta tetapi akhirnya bersetuju dengan tawaran The Citizens. Bagaimanapun, perpindahan itu hanya akan diselesaikan dalam minggu ini. Kehadiran Mahrez dijangka menjadi pembelian kedua buat City dalam masa terdekat setelah pemain tengah Napoli, Jorginho, dikatkaan turut berada dalam perjalanan ke England.

Goncalo Guedes

Penyerang muda Portugal ini membarisi kesebelasan utama pasukannya dalam saingan Piala Dunia di Russia. Mewakili Paris Saint-Germain (PSG), dia dipinjamkan ke Valencia pada musim lalu dan melalui musim yang hebat di Sepanyol. Kini, Arsenal dikatakan berminat untuk cuba membawanya ke England tetapi berdepan saingan sengit apabila Inter Milan turut mengejar khidmatnya.