Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 2 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia.

Situasi itu membuatkan setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Kali ini, terdapat satu gosip yang mengejutkan daripada bintang terkemuka di dunia. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Juan Quintero

Pemain tengah menyerang ini tampil cemerlang bersama Colombia dalam saingan Piala Dunia 2018. Selepas mengharungi tiga aksi peringkat kumpulan, dia mencatat satu gol serta dua bantuan jaringan. Situasi itu membuatkan Tottenham Hotspur menjadikannya sebagai sasaran bagi menghadapi kempen musim depan. Bagaimanapun, skuad kendalian Mauricio Pochettino berdepan saingan sengit kerana gergasi Sepanyol, Real Madrid, turut berminat dengan khidmatnya.

Cristian Pavon

Arsenal dilaporkan telah memberi tawaran berjumlah GBP27 juta buat pemain muda dari Argentina ini. Pemain berusia 22 tahun itu mengejutkan ramai pihak apabila namanya tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan negaranya sewaktu berdepan Perancis dalam aksi pusingan kedua Piala Dunia 2018, dimana Argentina tewas 4-3. Nama Pavon dijangka menjadi rebutan beberapa kelab Eropah yang lain.

Antonio Candreva

Candreva kini menjadi sasaran West Ham United untuk dijadikan pengganti buat Manuel Lanzini yang mengalami kecederaan lutut, menyaksikannya memerlukan tempoh yang panjang untuk kembali beraksi. Pemain berusia 31 tahun ini beraksi dalam 36 aksi Serie A pada musim lalu bersama Inter Milan, menjaringkan lapan gol tetapi dijangka akan dilepaskan oleh pasukan Itali itu.

Andros Townsend

Newcastle United dikatakan berminat untuk mendapatkan semula pemain sayap yang dilepaskan ke Crystal Palace dua tahun lalu, Andros Townsend. Pada 2016, Palace melengkapkan perpindahan Townsend berjumlah GBP13 juta dari St James Park tetapi dia muncul pemain utama di bawah kendalian Roy Hodgson pada musim lepas. Pengurus The Magpies, Rafa Benitez, bercadang untuk membawanya masuk bagi menggantikan tempat Matt Ritchie yang dijangka ke Stoke City.

Cristiano Ronaldo

Antara nama paling sensasi dalam gosip perpindahan setiap kali saingan di Eropah tamat. Bagaimanapun, kali ini Ronaldo dikaitkan dengan juara Itali, Juventus. Selepas sembilan tahun, bintang berusia 33 tahun ini dikhabarkan mahu mencari cabaran baru, namun The Old Lady tidak akan menerima jalan mudah jika mereka serius mahu mendapatkan kapten Portugal ini walaupun Los Blancos telah menurunkan klausa perpindahan Ronaldo daripada EUR1000 juta kepadad EUR120 juta.