Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Detik-detik bersejarah dalam Piala Dunia yang tidak akan terjadi jika VAR telah digunakan

Disebalik semua kekurangan, teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang digunakan di Piala Dunia 2018 jelas membantu dalam setiap keputusan pengadil yang kontroversi. Selain itu, kontroversi dan drama juga menjadi kebiasaan dalam setiap edisi Piala Dunia. Berikut adalah beberapa insiden yang mungkin tiada dalam sejarah jika VAR sudah digunakan.

Gol ‘Hand of God’ Diego Maradona di Piala Dunia 1986

Detik ikonik dalam sejarah bola sepak tidak akan wujud jika VAR digunakan ketika Piala Dunia 1986. Gol pertama Argentina sewaktu menundukkan England 2-1 dikenali dengan nama ‘gol tangan tuhan’ selepas Diego Maradona menggunakan tangan. Aksi kotor Maradona pasti akan dirakam dengan baik oleh kamera sehingga pengadil dapat membatalkan jaringannya.

Jaringan Frank Lampard yang tidak disahkan di Piala Dunia 2010

Kekalahan 4-1 England di tangan Jerman pada 2010 mungkin tidak akan terjadi sekiranya jaringan Frank Lampard menewaskan Manuel Neuer disahkan sehingga membolehkan kedudukan menjadi 2-2. Peminat England masih mengingati peristiwa itu sehingga kini dan ia menjadi titik permulaan teknologi garisan gol diperkenalkan.

Tendangan kung-fu Nigel de Jong di Piala Dunia 2010

Jika VAR digunakan pada 2010, Belanda mungkin akan beraksi dengan 10 orang pemain di final. Nigel de Jong dapat dilihat menerusi kamera melakukan tendangan ala kung-fu ke arah dada pemain Sepanyol, Xabi Alonso. Pengadil terlepas pandang insiden itu dan sehingga kini, seluruh dunia masih mempersoalkan tindakan buruk de Jong itu.

Sandiwara Rivaldo ketika separuh akhir Piala Dunia 2002

Pada tahun 2002, Brazil meraih keuntungan selepas bek Turki, Hakan Unsal, dibuang padang. Hasil rakaman televisyen menunjukkan bahawa keputusan memberikan kad merah buat Unsal satu kekeliruan kerana Rivado hanya melebih-lebihkan reaksinya selepas terkena bola, walaupun Unsal tidak sengaja menendang bola sehingga mengenai Rivaldo.

Laluan Korea Selatan ke separuh akhir Piala Dunia 2002

Jika VAR telah diterapkan pada 2002, Korea Selatan tidak akan mengalami mimpi indah ke separuh akhir serta menduduki tangga keempat. Salah satu daripada dua gol yang dihasilkan Sepanyol di suku akhir tetapi dibatalkan pengadil mampu membenam Korea Selatan. Korea Selatan ke separuh akhir hasil daripada keputusan kontroversi pengadil

Handball Torsten Frings di Piala Dunia 2002

Ia salah satu keputusan yang mengelirukan pada saingan edisi itu. Frings dilihat menghalang bola tepat di atas garisan golnya, sekaligus mempamerkan aksi hampir serupa dengan tindakan Luis Suarez pada 2010. Aksi itu membantu Jerman menundukkan Amerika Syarikat.

‘Gol hantu’ England di Piala Dunia 1966

Jaringan Lampard yang tidak disahkan pada 2010 seakan-akan satu balasan terhadap insiden ‘gol hantu’ England ke gawang Jerman ketika final Piala Dunia 1966. Jaringan yang dicatatkan oleh Geoff Hurst itu sebenarnya belum melepasi gawang tetapi pengadil menyifatkannya sebagai satu jaringan yang sah. England memenangi aksi itu dan mengesahkan satu-satunya gelaran Piala Dunia dalam sejarah pada tahun tersebut.

Patrick Battiston hampir mati di Piala Dunia 1982

Satu insiden antara Perancis dan Jerman Barat telah dicatatkan secara berbeza dalam sejarah. Pemain benteng Perancis, Patrick Battiston, tumbang selepas berlaga dengan penjaga gol Jerman Barat, Harald Schumacher sehingga membuatkan gigi tonggak Perancis itu patah dan sempat mengalami koma. Namun, pengadil hanya menghadiahkan sepakan gol buat Jerman. Malah, Schumacher langsung tidak dilayangkan sebarang kad.