Luar Negara Piala Dunia 2018

Sweden hantar pengintip, Korea Selatan tukar nombor pemain

Kem Korea Selatan cukup tidak berpuas hati apabila Sweden bertindak mengintip sesi latihan mereka menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia hari ini.

Disebabkan itu, mereka bertindak balas dengan menukar nombor-nombor pemain untuk mengelirukan mata-mata Sweden kerana menurut jurulatih Korea Selatan Shin Tae-yong:

“Sangat sukar bagi orang Barat untuk membezakan orang Asia,” katanya.

Bagi Tae-yong, beliau tidak kisah dan mengakui bahawa di Piala Dunia, setiap pasukan akan cuba mendapatkan kelebihan.

“Anda sentiasa ingin tahu tentang pihak lawan.

“Itu sesuatu yang kita akan lakukan sebagai jurulatih, saya tidak rasa bahawa apa yang dibuat merupakan sesuatu yang buruk, kita perlu memahami lawan kita, itulah sebahagian daripada tugas kita,” katanya.

Mengulas mengenai taktik menukar nombor baju pemain, Tae-yong menganggap walaupun Korea Selatan mempunyai pemain Tottenham, Son Heung-min, ramai pemainnya yang bermain di liga Asia dan tidaklah terkenal di seluruh dunia.

Jadi, menukar nombor pemain akan memastikan Sweden tidak dapat mengenali pemain mereka dengan mudah.

“Kami tahu ada seorang perisik Sweden.

“Kami mahu mengelirukan pasukan Sweden, ya, sebab itulah kami melakukannya,” katanya.

Pengintipan digunakan sebagai permainan minda bagi pesaing Kumpulan F di Nizhny Novgorod.

Ini kerana kedua-dua pasukan tahu betapa pentingnya perlawanan pembukaan apabila masing-masing akan bertemu Jerman dan Mexico.

Jurulatih Sweden, Janne Andersson memohon maaf mengenai kejadian di kem latihan pra-Piala Dunia di Korea Selatan di Austria, yang mana kakitangan pasukan kejurulatihan Sweden masuk ke sesi latihan Korea yang tertutup tanpa kebenaran.

Walaubagaimanapun, beliau masih berusaha mengumpulkan maklumat mengenai Korea Selatan sebanyak yang mungkin.

“Beliau terpaksalah melihat mereka dari jarak yang jauh,” kata Andersson.

Andersson tidak pula memberi komen mengenai Lars Jacobsson yang dilihat sengaja menyewa sebuah rumah di seberang jalan dari tempat latihan Korea supaya beliau boleh melihat mereka berlatih.

Beliau hanya berkata, Sweden sentiasa menganalisis setiap pihak lawannya, kebanyakannya dengan menonton permainan mereka dan menganggapnya sebagai perkara biasa.

“Tetapi sangat penting untuk kami menghormati pihak lawan dan dalam segala hal, jika ia dilihat dengan pandangan yang berbeza, kami memohon maaf,” katanya.

Ditanya sama ada Sweden mempunyai lebih banyak taktik rahsia, Andersson menjawab: “Taktik rahsia hanya akan menjadi taktik rahsia jika ia dirahsiakan.”-AP