Piala Dunia 2018 Berita

Lionel Messi yakin Argentina akan juarai Piala Dunia

Ini mungkin merupakan Piala Dunia terakhir kita akan menyaksikan kelibat bintang Argentina ini. Empat tahun lagi, dia akan berusia 34 tahun dan mungkin ketika itu sudah ada pemain generasi baru yang akan menyarung jersi Argentina.

Lionel Messi, pemain yang juga ketua pasukan Argentina ini yakin bahawa mereka mempunyai skuad yang cukup mantap untuk menjuarai Piala Dunia kali ini.

“Kami tahu ia tidak muda tetapi saya yakin Argentina mempunyai skuad yang mampu menjadi juara di Russia. Jika semua pemain mempunyai keyakinan yang sama, kami boleh menjadi pencabar,” kata Messi dalam satu temuramah bersama Express UK.

Messi sebelum ini pernah bersara daripada skuad Argentina. Kehilangannya cukup dirasai apabila Argentina bergelut di pusingan kelayakan. Tanpa Messi, Argentina sekadar memungut tujuh mata daripada lapan perlawanan. Enggan membiarkan negaranya gagal ke Piala Dunia, Messi kembali dan berjaya memimpin Argentina ke Russia.

“Ianya benar bahawa peringkat kelayakan agak sulit buat kami kerana kami mengambil masa yang lama untuk layak.

“Tetapi apa yang penting kami di sini sekarang dan kami akan berikan segalanya. Jika Argentina beraksi seperti mana kami tahu kami boleh beraksi, tiada pasukan akan dapat menewaskan kami.

“Kami mempunyai pengalaman di Piala Dunia dan kami tahu semua pasukan mahu tewaskan kami dan beraksi seperti ianya perlawanan akhir. Itu membuatkan ianya lebih sukar. Tetapi kami sudah biasa dengan itu.”

Argentina akan berdepan cabaran Iceland, Croatia dan Nigeria dalam Kumpulan D yang boleh dikatakan kumpulan maut.