Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Sweden di Piala Dunia 2018: Misi berjuang di Rusia tanpa Zlatan Ibrahimovic

Tanpa menolak sumbangan generasi Nils Liedholm yang membawa Sweden menjuarai Piala Dunia 1958, sebenarnya harus diakui bahawa Zlatan Ibrahimovic, seperti dalam ucapannya, adalah individu yang membawa Sweden kembali disegani, sekurang-kurangnya dalam kancah bola sepak moden.

Sejak tampil buat kali pertama di Piala Dunia 2002, harus diakui bahawa Sweden sangat bergantung kepada Zlatan. Bahkan, Sweden digeruni akibat penampilan Zlatan. Sehingga akhirnya pemain dengan jolokan Sang Singa itu membuat keputusan untuk bersara selepas Piala Eropah 2016, ramai yang menjangkakan Sweden akan bergelut selepas era Zlatan.

Namun, perkara itu tidak berlaku. Apabila Zlatan tiada, sememangnya Sweden kehilangan populariti dan melenyapkan kegerunan lawan terhadap mereka tetapi ternyata mereka lebih bersatu kerana tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja. Pengumpulan pemain era baru Sweden ini telah membawa mereka layak ke Piala Dunia 2018 walaupun diundi dalam kumpulan maut bersama Perancis, Belanda dan Bulgaria ketika aksi kelayakan.

Barisan pemain

Konsep kolektif yang digunakan menjadi kunci utama permainan Sweden di bawah bimbingan Janne Andersson. Dia membawa masuk nama-nama seperti Emir Forsberg, Albin Ekdal serta Oskar Hiljemark yang membawa Sweden layak ke Piala Dunia. Anderson juga tidak takut untuk memanggil pemain yang tidak beraksi di pentas besar atau mewakili pasukan utama Eropah.

Jangkaan formasi

Sewaktu mengemudi pasukan IFK Norkoping mempamerkan prestasi hebat dalam saingan Liga Sweden, Allsvenskaan,  formasi 4-4-2 menjadi pertaruhan Andersson. Corak sama juga mungkin akan digunakan buat pasukan Sweden di saingan Piala Dunia 2018. Apa yang menarik, Andersson biasanya menggunakan Forsberg di bahagian sayap sementara Sebastian Larrson di posisi tengah bertahan. Kedua-duanya mampu bertukar posisi dan membuatkan Forsberg mampu berperanan selaku perancang yang beraksi secara terbuka.

Kekuatan

Kepadatan dan kolektif adalah kekuatan utama pasukan Sweden di Piala Dunia nanti, membuatkan mereka mampu terus berjuang walaupun tanpa kelibat Zlatan Ibrahimovic. Setiap pemain berasa mereka mampu menyumbang pada kadar maksimum. Berbekalkan kekuatan fizikal negara Scandinavia itu, semangat juang Sweden akan membuatkan mereka sukar diatasi.

Kelemahan

Ketika banyak pilihan hebat yang boleh diharapkan di bahagian tengah, barisan bawah Sweden dilihat sebagai satu malapetaka. Andreas Granqvist yang juga merupakan kapten pasukan semakin berusia. Jelas sekali dia bukan tandingan buat mana-mana penyerang muda yang segar di Piala Dunia. Victor Lindelof yang dijadikan harapan ternyata mengharungi musim pertama yang mengerikan bersama Manchester United. Di bahagian bek kiri, masih wujud persoalan selepas Martin Olsson dan Ludwig Agusstinson masih belum berada di tahap terbaik. Menambahkan masalah adalah keadaan penjaga gol utama, Robin Olsen, yang mudah mengalami kecederaan.

Pemain utama: Emil Forsberg

Sejak ketiadaan Zlatan, Forsberg menjadi wajah pasukan Sweden. Berbanding seniornya, dia lebih tenang dan low profile walaupun dia merupakan kekuatan utama Sweden. Dia juga mampu mencipta hantaran tepat dan beraksi secara efektif. Bermain sebagai perancang secara terbuka, Forsberg sudah pasti akan memberi ancaman buat pasukan lain dalam Kumpulan F.

Peluang di Piala Dunia

Jerman menjadi pilihan utama untuk melepasi Kumpulan F sambil Mexico memiliki rekod yang baik dalam melangkah ke kelompok 16 pasukan terakhir, namun kini Sweden berada dalam era baru sejak ketiadaan Zlatan. Berbekalkan kerja keras dan bersatu serta tuah, Sweden mampu melepasi peringkat kumpulan. Aksi bertemu Korea Selatan sudah pasti menjadi lawan yang mampu menentukan laluan mereka.