Piala Dunia 2018

Southgate tidak mahu pemainnya keluar padang jika terima hinaan berbentuk perkauman

Satu perkara yang sentiasa menjadi kerisauan oleh penyokong dan pasukan yang akan berkunjung ke Russia untuk Piala Dunia nanti adalah isu perkauman. Bolasepak di Russia sering menjadi sasaran isu perkauman terutamanya kepada pemain-pemain berkulit hitam. Pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi isu perkauman ini.

Bagi ketua jurulatih England, Gareth Southgate, dia mempunyai cara sendiri untuk berdepan isu perkauman di Russia. Southgate menegaskan bahawa pasukannya tidak boleh meninggalkan padang jika ada mana-mana pemain menjadi sasaran hinaan berbentuk perkauman di Piala Dunia nanti.

“Masyarakat dalam dunia yang ideal akan berkata anda patut berbuat demikian, tetapi jika mengikut realitinya, anda boleh ditendang keluar daripada kejohanan (jika berbuat demikian).

“Saya tidak rasa pemain saya mahu itu terjadi kerana mereka telah berkerja keras untuk beraksi di Piala Dunia.

“Yang idealnya adalah kita boleh bangkitkan dan hadapi isu ini tetapi kita juga mahu beraksi di Piala Dunia.

“Ianya sukar untuk mencari titik tengah bagi memperbetul keadaan dan ianya sukar untuk saya menyatakan sesuatu yang boleh memuaskan hati semua pihak.

“Keadaan sudah berubah dalam 30 tahun saya terlibat dalam bolasepak. Kami boleh membuat perubahan dalam bolasepak, tetapi kami tidak boleh mengubah semuanya kerana punca masalah ini ada dalam masyarakat itu sendiri.”

Biar apa pun keputusan yang dibuat Southgate atau mana-mana pasukan, apa yang penting adalah perubahan perlu bermula dari diri kita masing-masing. Semua kempen anti perkauman yang dilakukan oleh pemain, pasukan atau badan pentadbir bolasepak tidak akan berhasil jika kita sendiri tidak mahu mengubah diri kita.