Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Sepanyol di Piala Dunia 2018: Harapan Matador untuk merebut semula trofi emas

Sebagai juara Piala Dunia 2010 dan pemilik salah satu liga bola sepak yang paling kompetitif di dunia, Sepanyol sudah pasti menjadi pilihan untuk bergelar juara bagi saingan 2018. Justeru, mereka terlebih dahulu perlu melepaskan diri daripada bayangan kejayaan ketika era Vicente del Bosque.

Nama del Bosque akan terus harum dalam sejarah La Furia Roja sebagai pengurus yang mendapatkan dua Piala Eropah dan Piala Dunia 2010. Penggantinya, Julen Lopetegui, sehingga kini masih berdepan sebarang rintangan ketika membawa Sepanyol ke Piala Dunia 2018. Namun, beban berat dihadapi Lopetegui dalam mengikuti jejak langkah pengurus legenda itu.

Bakat yang melimpah menjadi salah satu cabaran buat pengurus untuk merencanakan pasukan. Hasilnya, Lopetegui terpaksa meninggalkan beberapa nama besar seperti Alvaro Morata dan Cesc Fabregas. Malah, dia juga perlu bijak dalam menjaga keharmonian bilik persalinan yang dipenuhi oleh sebahagian besar pemain Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid. Tidak diragui bahawa tiga pasukan ini merupakan seteru utama sejak bermusim lamanya.

Jangkaan formasi

Lopetegui mempertaruhkan salah seorang penjaga gol terbaik dunia, David de Gea, yang akan bergandingan bersama Sergio Ramos dan Gerard Pique di bahagian bawah. Pengurus juga perlu bijak memilih pilihan bek sayap yang dimiliki tatkala pilihan yang ada adalah Dani Carvajal dan Cesar Azpilicueta.

Di bahagian tengah pilihan yang begitu banyak merupakan cabaran sebenar buat Lopetegui. Dia mungkin akan mempertahankan nama Andres Iniesta sebagai arkitek serangan, sambil dibantu Sergio Busquets dan Thiago Alcantara atau Jorge ‘Koke’ Resurreccion di bahagian tengah. Pemain tengah lain akan lebih ke depan bagi memainkan peranan sayap dan membantu penyerang tunggal.

Pemain utama: David de Gea

Berbeza dengan lawan mereka dalam Kumpulan B iaitu Portugal, Sepanyol hampir tidak menonjolkan satu pemain sahaja. Kekuatan mereka kali ini sememangnya berada di segenap posisi sehinggakan kami terpaksa memilih David de Gea sebagai pemain yang menjadi kunci utama pasukan. Daianggap sebagai penjaga gol terbaik dunia ketika ini, de Gea perlu membuktikan dirinya benar-benar layak untuk menggantikan Iker Casillas. Jika dia tampil cemerlang menghalang setiap halangan lawan, Sepanyol sudah tentu akan muncul tanpa sebarang kekurangan.

Kekuatan

Bakat yang melambak dalam skuad kali ini menjadi kekuatan utama La Furia Roja. Ditambah dengan teknik hantaran pendek yang sudah diwujudkan sejak zaman mendiang Luis Aragones dalam dekad terakhir, Sepanyol menjadi salah satu calon paling utuh bergelar juara.

Kelemahan

Sedikit tanda tanya tercetus di bahagian depan Sepanyol. Selama ini, Lopetegui dilihat cenderung menggunakan khidmat pemain tengah seperti Isco Alarcon atau Marco Asensio sebagai pemain sayap. Namun, siapa yang akan menjadi penyerang utama? Diego Costa dan Rodrigo Moreno masih belum konsisten manakala Iago Aspas dianggap masih belum bersedia untuk pentas sebesar Piala Dunia.

Peluang

Bukan sekadar layak ke pusingan kedua, malah peluang Sepanyol untuk sampai ke separuh akhir juga tampak cerah, melainkan jika mereka menampilkan aksi mengejut seperti ketika gagal melepasi peringkat kumpulan di Piala Dunia 2014.