Malaysia Liga Super Malaysia

Jualan tiket Liga Super di bulan Ramadan mengecewakan

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk Kedah FA, Shaharol Niza Omar mendedahkan jualan tiket perlawanan Liga Super sepanjang bulan Ramadan setakat ini agak mengecewakan dengan menyaksikan stadium lengang dengan jumlah penonton menurun lebih 50 peratus.

Katanya, hanya kira-kira 5,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa lalu.

Bilangan kehadiran yang dicatatkan dalam perlawanan itu jauh tersasar daripada sasaran Persatuan Bolasepak Kedah yang menjangkakan sekurang-kurangnya 15,000 penyokong lagi-lagi apabila melibatkan pertembungan dua buah pasukan terkemuka di Liga Super.

“Saya yakin jika perlawanan itu dilangsungkan pada bulan biasa, stadium akan penuh, sekurang-kurangnya mencapai sasaran 15,000 penonton kerana berdasarkan rekod, rating perlawanan Kedah-Pahang sentiasa tinggi.

“Apatah lagi Kedah sedang berada dalam momentum kemenangan sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini. Malah, penyokong kami dianggap antara peminat bola sepak tegar yang sentiasa datang memberikan sokongan.

“Tapi, bila dilangsungkan pada bulan puasa, sambutan memang mengecewakan kerana penyokong lebih memberi tumpuan kepada solat terawih walaupun waktu sepak mula telah dipinda kepada pukul 10 malam.

“Kutipan hasil jualan tiket banyak membantu kewangan persatuan tapi jika begini keadaannya, poket kami boleh kempis. Itu baru satu perlawanan, bayangkan jika pertemuan lain selepas ini pasti akan mengalami nasib sama,” katanya kepada Berita Harian.

Kedah bakal menjadi tuan rumah untuk dua lagi perlawanan sepanjang Ramadan, melayan kedatangan Melaka United pada 1 Jun dan Kelantan pada 5 Jun.

Terengganu yang bertemu Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada perlawanan sebelum ini juga hanya mampu menarik kira-kira 3,000 penyokong.

Lebih menyedihkan, Persatuan Bolasepak Perak (PFA) pula terpaksa menawarkan tiket percuma untuk memikat penyokong ke stadium dalam pertemuan menentang PKNP FC yang berkesudahan dengan keputusan dramatik 4-3 memihak kepada Perak.