Malaysia Kajian & Analisis

Amri Yahya, Indra Putra dan senarai 10 pemain tertua di pentas Liga Super 2018

Bagi seorang pemain bola sepak di negara-negara lain untuk bermain sehingga umur 40-an, ianya bukanlah suatu perkara yang asing. Ramai sahaja pemain-pemain contoh yang beraksi sehingga umur 40-an seperti Ryan Giggs, Paolo Maldini, Francesco Totti, Rivaldo, Javier Zanetti, Romario, Kevin Phillips dan Teddy Sheringham. Penjaga gol kebangsaan Mesir, Essam El-Hadary dijangka akan memecahkan rekod sebagai pemain tertua yang beraksi di Piala Dunia pada usia 45 tahun Jun nanti. Di Jepun pula, Kazuyoshi Miura atau lebih dikenali sebagai King Kazu masih lagi beraksi di pentas tertinggi J.League bersama Yokohama FC dalam J2 League pada usia 50 tahun.

Sedikit berlainan pula budayanya di Liga Malaysia, kerana rata-ratanya para pemain terutamanya yang berwarganegara Malaysia amat jarang kita melihat mereka bermain sehingga mencapai umur 40-an. Walaupun begitu, masih ada lagi pemain bola sepak di Malaysia yang mampu mengekalkan prestasi dan kecergasan mereka pada lewat umur 30-an.

Dengan menggunakan data yang telah disediakan oleh Transfermarkt.com, berikut merupakan senarai 10 pemain tertua yang telah pun beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia setakat musim ini berlangsung:

10) Helmi Eliza Elias - Pahang

Menyertai pasukan Pahang pada awal musim, beliau telah dijadikan sebagai penjaga gol utama buat pasukan Pahang untuk musim ini. Aksi beliau yang terkini untuk pasukan Pahang ialah ketika Pahang tewas 0-1 kepada pasukan Terengganu pada 11 Mei lalu. Beliau berusia 35 tahun, 3 bulan dan 21 hari dalam perlawanan tersebut.

9) Saiful Amar Sudar – Negeri Sembilan

Diturunkan sebagai penjaga gol utama pada awal musim, namun kini telah kehilangan status beliau sebagai penjaga gol utama kepada Ilham Amirullah. Beliau kali terakhir beraksi ketika tewas 3-0 kepada pasukan Melaka pada 11 Februari lalu. Usia beliau dalam perlawanan tersebut ialah 35 tahun, 8 bulan dan 1 hari.

8) Badhri Radzi – Kelantan

Badhri atau Piya kini sedang mencari kelab baharu untuk baki musim ini. Beliau kali terakhir beraksi bersama pasukan Kelantan ketika tewas 1-0 kepada PKNS FC pada 9 Mac lalu. Usia beliau dalam perlawanan tersebut ialah 35 tahun, 9 bulan dan 7 hari.

7) Kim Do-Heon – Negeri Sembilan

Hadir ke pasukan Negeri Sembilan pada awal musim, beliau kemudiannya telah dilantik sebagai kapten pasukan atas pengalaman bola sepak beliau yang luas. Aksi terkini beliau ialah ketika tewas 1-2 kepada pasukan Kedah pasa 13 Mei lalu. Usia beliau dalam perlawanan tersebut ialah 35 tahun, 9 bulan dan 29 hari.

6) P. Gunalan – PKNS FC

Beliau merupakan bek kiri utama PKNS FC sebelum digilirkan bersama Daniel Ting yang lebih muda pada musim ini. Beliau kali terakhir beraksi pada 14 April ketika tewas 3-0 kepada pasukan Johor pada usia 36 tahun, 7 bulan dan 3 hari.

5) Indra Putra Mahayuddin – Kuala Lumpur

Menyertai pasukan Kuala Lumpur pada awal musim, beliau kemudiannya dilantik sebagai kapten pasukan. Permulaan musim yang perlahan namun beliau akhirnya berjaya mendapatkan rentak pada musim ini. Beliau beraksi ketika tewas 3-2 kepada PKNS FC pada 13 Mei lalu pada usia 36 tahun, 8 bulan dan 11 hari.

4) Luciano Figueroa – Johor Darul Ta'zim

Kembali daripada persaraan pada awal musim ini untuk mengisi slot pemain import, beliau telah pun bersara semula setelah gagal memperoleh rentak sebelum rehat antarabangsa pada Mac lalu. Aksi terakhir beliau dalam Liga Super Malaysia ialah ketika menewaskan pasukan Melaka 3-0 pada 24 Februari lalu. Usia beliau dalam perlawanan tersebut ialah 36 tahun 9 bulan dan 5 hari.

3) Saiful Nizam Miswan – Kuala Lumpur

Beliau juga menyertai pasukan Kuala Lumpur pada awal musim. Namun, tidak seperti Indra Putra, beliau hanya muncul sekali sahaja dalam aksi Liga Super Malaysia iaitu ketika seri 2-2 menentang pasukan Pahang. Beliau yang masuk sebagai pemain gantian berusia 37 tahun, 1 bulan dan 12 hari dalam perlawanan tersebut.

2) Amri Yahya – Selangor

Pada usia 37 tahun, Amri masih lagi menjadi tonggak utama kepada pasukan Selangor setelah kembali ke sana pada pertengahan musim yang lalu. Aksi Liga Super Malaysia beliau yang terkini ialah pada 12 Mei yang lalu ketika seri 2-2 menentang pasukan Johor. Beliau berusia  37 tahun, 3 bulan dan 21 hari.

1) Suffian Abdul Rahman – Terengganu

Suffian merupakan penjaga gol utama buat pasukan Terengganu pada musim ini. Aksi beliau yang terkini bersama pasukan Terengganu ialah ketika Terengganu tewas 3-2 kepada pasukan Perak pada 6 Mei lalu. Beliau berusia 40 tahun, 2 bulan dan 13 hari dalam perlawanan tersebut, sekaligus menjadikan beliau sebagai pemain tertua yang telah beraksi dalam Liga Super Malaysia musim ini.