Luar Negara Berita

FIFA cadang anjurkan Piala Dunia mini setiap dua tahun

Tidak cukup dengan kejohanan Piala Dunia berlangsung empat tahun sekali, Persekutuan Persatuan Bolasepak Dunia (FIFA) mahu ada Piala Dunia dua tahun sekali!

Menurut laporan Reuters, Presiden FIFA, Gianni Infantino telah mencadangkan untuk menganjurkan satu kejohanan mini Piala Dunia, yang menampilkan lapan pasukan kebangsaan,setiap dua tahun sebelum Piala Dunia.

Cadangan untuk mini Piala Dunia ini adalah bagi menggantikan Piala Konfederasi yang biasa diadakan dua tahun sebelum Piala Dunia.

Kejohanan berkenaan yang dikenali sebagai “Final 8” akan menjadi kemuncak kepada cadangan Liga Dunia, salah satu daripada perancangan merombak bolasepak antarabangsa yang dipercayai bernilai USD 25 Billion dalam tempoh 12 tahun.

Menurut laporan Reuters lagi, dalam sepucuk surat yang dilihat mereka, Infantino telah mencadangkan agar kejohanan baru ini dijalankan setiap Oktober dan/atau November pada setiap tahun ganjil bermula 2021.

Infantino juga ada menyatakan dalam surat tersebut bahawa sudah ada sekumpulan pelabur yang sudi membelanjakan USD 25 Billion untuk kejohanan berkenaan dan Piala Kelab Dunia yang bakal dirombak di mana 24 kelab akan beraksi pada tahun 2021 nanti.