Luar Negara Eropah

El Ilusionista: Terima kasih, Andres Iniesta

Duduk di hadapan wartawan bola sepak yang memenuhi sidang media di Ciutat Esportiva Joan Gamper, ada sesuatu yang berlainan tentang Andres Iniesta. Walaupun mengucapkan selamat petang dan tersenyum melalui bibirnya sebagai tanda sapaan, mimik wajah dan gerak tubuh badannya menyiratkan perasaan yang berat.

Pada waktu itu, pemain tengah berusia 33 tahun itu mengumumkan bahawa penghujung musim 2017/18 bakal menyaksikannya meninggalkan Barcelona, pasukan yang menemui bakatnya sejak muda dan menaikkan namanya sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia.

Melepaskan atau meninggalkan sesuatu yang dicintai, ia sering menghadirkan perasaan yang bercampur-baur. Hal yang sama juga berlaku terhadap Iniesta. Dia terpaks menarik nafas panjang beberapa kali untuk menenangkan diri tetapi seperti dijangka, dia tidak dapat menahan tangisan daripada membasahi pipinya. Air mata itu menceritakan kebanggaan, cinta, keengganan, kesedihan serta terima kasihnya terhadap El Barca.

Lahir di Fuengtealbilla, sebuah kota kecil di Provinsi Albacete, Iniesta telah menunjukkan bakatnya sejak berusia 12 tahun. Hasilnya, banyak pencari bakat dari kelab-kelab profesional Sepanyol cuba untuk mengamati corak permainannya.

Skuad raksasa ibu kota, Real Madrid, telah menjadi kubu pertama yang mendapatkan khidmat Iniesta. Kebetulan, kedua orang tuanya mahu melihat putera mereka beraksi buat Los Blancos pada satu hari nanti.

Bagaimanapun, malang buat Madrid apabila kesempatan besar untuk meraih seorang bakat hebat yang wujud dalam diri Iniesta terpaksa dilupakan apabila tempat tinggal yang disediakan untuk semua pemain muda yang akan dimasukkan ke dalam akademi kelab itu terletak berdekatan dengan kawasan pelacuran, membuatkan ibu bapanya tidak berasa selesa.

Dalam masa sama, pelatih pasukan muda Barca, Enrique Orizaola, yang mengenali kedua orang tua Iniesta, memujuk mereka agar membenarkan anaknya menyertai skuad akademi El Barca, La Masia. Orizaola juga memberi jaminan bahawa keadaan persekitaran di sana sangat baik dan bagus buat pemain belia.

Keputusan untuk berhijrah ke Catalonia ternyata tepat kerana potensi Iniesta dilihat meningkat dengan sangat pantas. Pep Guardiola yang ketika itu masih beraksi selaku pemain mewakili Barca turut yakin bahawa jika satu hari nanti Iniesta akan membuatkannya tersingkir daripada aksi di Camp Nou.

Di segenap usia, Iniesta menunjukkan perkembangan yang sangat mengagumkan. Walaupun bertubuh kecil dan kadar pemecutan serta lariannya agak perlahan, Iniesta memiliki kebijaksanaan, pemikirkan yang bagus, teknik kawalan bola serta visi yang luas.

Berbekalkan kebolehan itu, Iniesta dilihat cuma menunggu masa untuk melakukan debut sebagai pemain profesional. Pada 29 Oktober 2002, akhirnya detik bersejarah buat Iniesta hadir sewaktu saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang Club Brugge di Stadium Jan Breydel.

Seperti yang kita ketahui ketika ini, Iniesta mencipta pelbagai kisah indah bersama El Barca pada tahun-tahun berikutnya. Berbekalkan teknik bijak yang dimiliki, Iniesta pantas muncul menjadi tonggak Barca di bahagian tengah.

“Salah satu pemain yang dapat memainkan bola sepak dengan sempurna adalah Iniesta. Sebagai pemain tengah, dirinya tahu bila waktu tepat untuk naik ke depan membantu serangan dan turun untuk memperkuatkan bahagian bawah. Iniesta dapat memilih saat yang terbaik untuk melakukan segalanya, sama ada menghantar bola atau mengatur tempo permainan. Anda boleh dilatih cara untuk melepaskan tendangan atau mengawal bola tetapi untuk memahami secara terperinci apa yang anda akan, sedang dan telah lakukan, itu membuatkan Iniesta berbeza dengan pemain lain,” ujar Juan Roman Riquelme, memetik daripada laman web FIFA.

Beraksi bersama pemain-pemain seperti Sergio Busquets, Deco Souza, Edmilson, Ivan Rakitic, Ronaldinho, dan Xavi Hernandez di atas padang, Iniesta telah membawakan puluhan trofi dengan gagahnya di almari piala El Barca.

Secara keseluruhan, Iniesta telah meraih 31 gelaran besar, baik di peringkat domestik, benua dan antarabangsa di sepanjang kariernya menyarung jersi Barca. Uniknya, jumlah itu masih boleh di tambah pada akhir minggu ini tatkala Barcelona hanye memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan gelaran LaLiga 2017/18.

Melihat kepada statistik Transfermarkt selama 16 musim Iniesta mewakili Barca, dia telah menyertai 670 perlawanan rasmi di pelbagai peringkat. Dalam masa sama, pemain berketinggian 171 sentimeter itu telah mencatat 57 gol dan 141 bantuan jaringan. Namun, sekali lagi, memandangkan musim ini belum berakhir, dia masih boleh menambah jumlah itu sebelum meninggalkan pasukan.

Iniesta bukan pemain yang dikenali menerusi gelecekan yang melepasi pemain lawan demi mengagumkan penonton tetapi jika dia memegang bola, anda harus yakin bahawa satu keajaiban akan berlaku. Itu yang membuatkannya digelar El Ilusionista.

Andai penyokong Barcelona kini bersedih menitikkan air mata, maka ia adalah sesuatu yang patut berlaku kerana, mereka bakal kehilangan seorang lagi maestro di atas padang yang wujud dalam diri Iniesta.