Santai Luar Negara

Lima pemain Liga Perdana Inggeris dengan gaji mingguan terendah

Gaji pemain bola sepak Eropah disifatkan sebagai mewah. Ia termasuk Liga Perdana Inggeris yang sering menawarkan gaji tinggi buat pemain-pemain. Pada November 2017, laman web BBC Sport telah mengeluarkan laporan yang mengatakan bahawa purata gaji yang diterima oleh para pemain di EPL adalah 50 ribu pound seminggu.

Bagaimanapun, terdapat lima pemain yang masih belum melebihi jumlah 10 ribu pound, sekaligus menjadi jumlah terendah yang diraih.

 

Declan Rice - West Ham United - 2,500 pound

Penampilan West Ham pada musim ini jauh daripada memuaskan apabila sekadar menduduki tangga ke-14 selepas 33 perlawanan. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai seorang pemain muda daripada akademi sendiri yang menyinar, iaitu Declan Rice.

Musim ini, pemain pertahanan berusia 19 tahun ini telah beraksi dalam 27 perlawanan di semua kejohanan dan 19 daripadanya adalah penampilan liga. Pada tahun lalu, dia menjadi pemain muda terbaik Hammers dan meraih debut pertama bersama skuad kebangsaan Ireland.

Penampilannya yang datang daripada kem akademi dan masih muda membuatkan gajinya hanya berjumlah 2,500 pound seminggu. Sudah pasti pihak pengurusan West Ham sedang menyediakan kontrak baru untuknya pada musim depan dengan gaji yang lebih tinggi kerada dia mungkin menarik perhatian pasukan-pasukan besar di England.

Ainsley Maitland-Niles - Arsenal - 4,000 pound

Tradisi Arsene Wenger untuk terus menghasilkan pemain muda yang berpotensi dari akademi pasukan sentiasa berlaku dalam setiap musim. Kali ini, Maitland-Niles menjadi senjata rahsia buat Gunners dalam beberapa aksi.

Pada musim ini, Maitland-Niles telah beraksi sebanyak 23 kali dalam semua kejohanan buat Arsenal. Jika dilihat kepada laluannya untuk beraksi dalam skuad senior Arsenal, pemain berusia 20 tahun ini telah mencatatkan penampilan dalam semua usia, termasuk nadi utama skuad England B-20 yang menjuarai Piala Dunia 2017.

Adrian Mariappa - Watford - 7,000 pound

Kemunculan pemain bek senior Watford ini agak mengejutkan. Selepas mengharungi 400 perlawanan sejak 2005 bersama kelab atau negara, pendapatan pemain dari Jamaica ini dilihat sangat rendah. Pemain berusia 31 tahun ini hanya meraih gaji berjumlah 7,000 pound.

Adrian sendiri adalah hasil daripada akademi Watford dan mula tampil bersama skuad senior pada 2005. Sebelum kembali bersama pasukan pada 2016, dia sempat menyertai Crystal Palace dan Reading.

Kontrak Adrian bersama Watford bakal tamat pada musim panas 2019.

Brahim Diaz - Manchester City - 8,000 pound

Salah seorang pemain City yang mencuri perhatian pada musim ini adalah Brahim Diaz. Dalam beberapa perlawanan, Pep Guardiola menggunakan kesempatan untuk menurunkan pemain berusia 18 tahun ini. Bagaimanapun, secara keseluruhan dia telah beraksi sebanyak lapan kali.

Berbekalkan gaji 8 ribu pound seminggu, Diaz berpeluang untuk meraih pendapatan lebih besar sekiranya membuktikan kebolehannya secara kerap bersama pasukan senior pada musim depan.

Scott McTominay - Manchester United - 10,000 pound

Kelibat McTominay pada musim ini mencuri perhatian peminat United kerana dia menjadi produk akademi yang meraih waktu bermain paling banyak bagi saingan 2017/18. Posisi di tengah telah membuatkannya dibandingkan dengan Paul Scholes, terutama di babak kedua musim ini.

Pemain tengah ini mula beraksi buat skuad Scotland pada bulan lalu. Dia berada bersama United sejak berusia lima tahun sebelum terus berkembang menjadi pemain tengah yang matang.

Musim ini, McTominay telah beraksi sebanyak 24 kali, menjadikan jumlah waktu bermain lebih 1000 minit. Gaji yang berjumlah 10,000 pound ini mungkin bakal bertambah, seiring dengan perkembangannya di Old Trafford, sekaligus menyekat usaha kelab lain untuk mendapatkannya.