Kolum Luar Negara

Bibras Natkho, pemain beragama Islam yang menjadi kapten skuad kebangsaan Israel

Arsenal bakal sekali lagi berdepan wakil Russia, CSKA Moscow, dalam aksi suku akhir Liga Europa. Antara kelibat yang mencuri perhatian adalah pemain tengah skuad ibu kota Russia itu, Bibras Natkho. Dia adalah salah seorang daripada kelompok kecil pemain muslim yang mewakili skuad kebangsaan Israel dan berjaya.

Bibras Natkho, yang sering dipanggil Bebras Natcho, bukan sahaja pilihan utama dalam skuad CSKA. Baru-baru ini, dia telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab selaku kapten skuad kebangsaan Israel, sekaligus menjadi perkara yang membanggakannya apabila mengetuai sebuah pasukan yang didominasi oleh puak Yahudi.

“Satu penghormatan besar buat saya untuk mengetuai skuad Israel dan itu adalah salah satu mimpi bapa saya,” kata Natkho yang dipetik daripada The Independent menjelang aksi Liga Europa menentang Arsenal pada minggu lalu.

Bapa Natkho merupakan individu yang berdarah Circassian, kelompok muslim yang sebahagian besarnya tinggal di Russia dan Turki. Ketika ini, seramai kira-kira 5,000 orang Circassian berada di Israel. Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan warga Israel yang mencecah 8.5 juta, kelompok Circassian pastinya menjadi puak kecil.

“Menjadi kapten skuad kebangsaan bukan sahaja menjadi detik penting dalam karier tetapi juga buat puak kami. Saya sering memperjuangkan mereka dan tentunya gembira dapat membuat mereka berbangga.”

Pemain berusia 30 tahun ini dibesarkan di Kota Kafr Kama yang terletak di bahagian utara Israel. Dia merupakan seorang muslim yang taat, sehingga hidupnya sering menerima tentangan. Baru-baru ini, legenda Israel yang pernah mewakili West Ham dan Celtic FC, Eyal Berkovic, telah mengkritiknya kerana pemain itu tidak menyanyikan Hatikvah, lagu kebangsaan Israel yang mengandungi lirik memuja khas buat Yahudi.

“Seorang kapten skuad kebangsaan harus menyanyikan lagu kebangsaan. Siapa yang tidak melakukannya tidak layak untuk memakai lilitan kapten!” kata Berkovic.

Bagaimanapun, tindakan Natkho itu menerima sokongan daripada beaks kapten Israel yang bersara pada tahun lalu, Eran Zahavi. Dalam sesi temubual dengan laman web Walla, Zahavi menolak kenyataan Berkovic, “Ini adalah skuad kebangsaan Israel, bukan skuad kebangsaan Yahudi!”

Natkho sendiri merupakan pemain Israel paling berjaya ketika ini, selepas tamatnya era Berkovic dan Yossi Benayoun. Bersama pemain tengah Brighton & Hove Albion, Beram Kayal, dan bek Eintracht Frankfurt, Taleb Tawatha, ketiga-tiga pemain ini adalah nadi penting skuad Israel yang beragama Islam.

Natkho memulakan kariernya di luar negarea selepas meninggalkan Hapoel Tel Aviv dan memperkuatkan Rubin Kazan pada awal 2010. Selepas itu, dia berhijrah ke Greece untuk menyertai PAOK sebelum direkrut CSKA pada Ogos 2014. Sejak itu, dia menjadi tonggak utama di bahagian tengah pasukan itu.

Apabila ditanya mengenai visinya memimpin pasukan Israel, Natkho memberikan jawapan yang bagus.

“Dalam skuad kebangsaan, kami bersatu. Kami tidak peduli tentang perbezaan agama. Amat menyedihkan apabila ada pihak yang menggunakan alasan agama untuk menghancurkan kami.”