Kolum Berita

PT Prachuap, kelab Thai yang sedang mencabar dominasi Buriram United dan Muangthong United

Di Jerman, kisah RB Leipzig telah menarik perhatian banyak pihak. Belum berusia 10 tahun, mereka telah mencabar kelompok teratas Bundesliga dan sempat cuba merebut kejuaraan liga sebelum akur dengan kekuatan kelab gergasi, Bayern Munich. Apa yang lebih menarik, mereka melakukan penampilan luara biasa di Bundesliga semasa baru sahaja melalui musim pertama di pentas tertinggi Jerman itu. Perjalanan RB Leipzig dari divisyen bawah ke liga tertinggi tentunya mencetuskan sensasi.

Di Thailand, PT Prachuap FC kini bersedia untuk mengikut jejak langkah RB Leipzig untuk menjadi kelab yang baru dinaikkan untuk mencabar pasukan gergasi. Semua tahu bahawa T1 Liga Thailand sering didominasi oleh pasukan seperti Buriram United dan Muangthong United. Bagaimanapun, Prachuap tampak mampu mencabar kedua-dua pasukan ini.

Prachuap mula tercipta pada 2009. Mereka sempat beraksi di liga bawahan Thailand. Bagaimanapun, disebabkan kekangan dana, mereka terpaksa mengundurkan diri setahun kemudian. Bernasib baik, seorang usahawan bernama Songkiat Lim-aroorak menjadi presiden kelab pada 2011.

Kehadiran Songkiat menjadi permulaan buat kebangkitan Prachuap apabila mencetuskan sasaran baru dan bercita-cita tinggi. Seolah-olah mewujudkan penjenamaan semula, logo kelab juga diubah untuk mendapatkan semangat baru. Bermula dari liga bawahan, mereka mengorak langkah sehingga dinaikkan ke liga teratas.

Selepas tujuh tahun dibawah taklukan Songkiat, Prachuap kini beraksi di pentas T1 Liga Thailand selepas menamatkan saingan T2 Liga Thailand di tempat kedua pada musim lepas. Memasuki aksi kelapan. Mereka berada di kedudukan keempat liga berbekalkan 16 mata. Salah satu detik terbaik yang telah dicetuskan adalah sewaktu mengejutkan Muangthong 6-1. Setiap pemain mereka tampil luar biasa dan membuatkan Muangthong tidak senang duduk. Sejurus selepas aksi itu, ketua jurulatih Muangthong, Tawan Sripan, mengundurkan diri kerana malu.

Secara ringkas, laluan Prachuap dalam lapan tahun terakhir tidak ubah seperti apa yang dipamerkan Leipzig pada musim lalu sebagai kelab baru. Namun, apa yang membuatkan mereka menjadi luar biasa?

Menurut rakan kami dari Football Tribe Thailand, Jedsada Chanaphinjiwong, faktor utama yang membawa kepada perkembangan hebat Prachuap adalah kepimpinan yang ditunjukkan oleh presiden, Songkiat.

Songkiat tidak menyuntikkan dana yang besar seperti apa yang dilakukan Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi dia adalah seorang presiden yang memahami bola sepak. Setiap sasaran tinggi yang ditetapkan dilihat logik untuk dicapai. Ia juga mendapatkan kualiti jurulatih yang tepat pada diri Thawatchai Damrong-Ontrakul. Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Thailand itu jelas mampu merencanakan taktika yang tepat dan sesuai dengan pemain yang Prachuap miliki.

Apa yang menarik, Songkiat selaku presiden juga tidak pernah campur tangan dalam setiap urusan Thawatchai di atas padang. Menurut Jedsada, situasi ini yang menyebabkan wujudnya faktor kejayaan yang dipanggil The Killer Wasp. Kepercayaan penuh kepada jurulatih telah membuatkan Thawatchai bebas untuk mewujudkan taktikal yang kreatif dan hebat buat Prachuap.

Dalam masa sama, Jedsana juga menjelaskan bahawa penyokong Prachuap merupakan salah satu kelompok penyokong yang paling fanatik Thailand. Dinamakan Panta Devil, mereka tidak pernah melepaskan peluang untuk penyokong pasukan kesayanangan tidak kira di laman sendiri atau lawan. Walaupun bergelar kelab baru, faktor ini juga menjadi penyumbang kepada kejayaan pasukan.

Mengenai pemain terbaik yang pernah dimiliki, satu nama tentu akan muncul. Dia adalah pemain tengah yang bertindak sebagai nadi utama pasukan, Chitpanya Tisud. Berusia 26 tahun, Chitpaya adalah penggerak utama Prachuap dan berkebolehan tinggi dalam situasi bola mati. Status sebagai bekas tonggak Buriram United jelas dibuktikan olehnya.

Bagaimanapun, terdapat satu perkara yang perlu diambil serius pihak pengurusan Prachuap untuk menjadikan mereka benar-benar mencabar kelompok teratas liga pada musim depan, iaitu perkembangan pemain muda serta akademi. Ketika ini, mereka dibarisi rata-rata pemain berusia 29 tahun, sekaligus tidak memberikan gambaran visi yang baik buat kelab untuk masa depan dan harus segera diperbaiki oleh Songkiat dan seluruh pasukannya.

Jika Prachuap mampu untuk membangunkan pemain-pemain muda, mungkin mereka lebih berpeluang untuk memecahkan tradisi dominasi yang dipegang oleh Muangthong dan juga Buriram dalam saingan T1 Liga Thailand. Bagaimanapun, sebelum itu ayuh tunjukkan sedikit penghargaan di atas kehebatan Prachuap daripada liga bawahan sehingga ke liga teratas dalam masa yang singkat. Hebat!