Sukan SEA

Kim Swee pening cari 20 pemain terbaik untuk hadapi saingan Sukan SEA

Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee pening dan berdepan tugas sukar untuk membuat menyediakan senarai akhir 20 pemain yang bakal menggalas misi memburu pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Pengendali kelahiran Melaka itu masih belum mempunyai bayangan pemain kerana persaingan antara 28 anak buahnya untuk merebut tempat agak sengit.

“Ini keputusan sukar tapi saya kena memilih pemain yang terbaik dan saya kena lihat daripada banyak aspek tentang pemilihan nanti. Saya kena lihat aspek kecederaan, kecergasan pemain dan posisi-posisi tertentu. Saya masih belum ada bayangan, saya ada tiga sesi lagi sebelum saya menentukan 20 pemain yang akan didaftarkan Sabtu nanti,” katanya kepada harian metro pada sesi latihan.

Sebelum ini, Kim Swee memanggil 27 pemain bagi sesi latihan pusat bermula Ahad lalu namun pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri  telah memulakan latihan selepas pulih daripada kecederaan. Saingan merebut tempat semakin sengit apabila enam pemain yang tidak bersama pasukan pada saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu kerana tidak mendapat pelepasan kini turut sama berlatih. Mereka adalah Matthew Davies, Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran, Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim).

“Tiada perbezaan, semua pemain menunjukkan kesungguhan. Bukan hanya enam pemain yang tidak bersama dengan kita sebelum ini. Mereka menunjukkan kerjasama dan ini memberi pulangan yang baik untuk pasukan,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini sebelum bertemu Singapura, Myanmar dan Laos.

Kekangan masa dan masalah mengatur perlawanan dengan pasukan tempatan menjadi faktor pasukannya hanya menjalani latihan biasa sebelum pertemuan pertama Kumpulan A dengan Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

“Oleh kerana jurang masa dan pasukan negeri dan kelab memberi rehat kepada pemain mereka ketika ini, sudah tentu sukar untuk saya mendapatkan perlawanan persahabatan.

“Tapi saya percaya dari satu perlawanan ke satu perlawanan bermula dengan pertemuan dengan Brunei, kita akan bertambah baik,” katanya.