Malaysia Asia

Stadium Hang Jebat venue baru perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong

Aksi kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B itu pada awalnya dijadualkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, telah ditukar ke Stadium Hang Jebat, Melaka. Perubahan perlawanan itu diumumkan sendiri Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal, merangkap pengurus pasukan. Malaysia dijadualkan menentang Hong Kong pada 5 September 2017.

Menurut Subahan, perubahan venue perlawanan itu adalah untuk memberi peluang buat peminat di negeri lain menyaksikan skuad kebangsaan beraksi.

“Elok juga semua peminat di setiap negeri berpeluang menikmati perlawanan pasukan kebangsaan. Memang pada mulanya Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mahu mengadakannya di Larkin.”

“Tetapi, kali ini kami akan mengadakannya di Melaka. Saya harap penyokong-penyokong Melaka dapat hadir di Stadium Hang Jebat. Saya berasakan ia satu keputusan baik dan ia memang patut,” katanya kepada astro arena.

Skuad Harimau Malaya bakal menghadapi 3 perlawanan persahabatan pada bulan Ogos ini. Mereka akan menentang Syria di Melaka pada 22 Ogos, Macau di tempat lawan pada 25 Ogos dan Myanmar di Yangon pada 29 Ogos.

Selepas itu, skuad negara akan pulang ke tanah air dan terus menjalani latihan di Melaka sebelum berdepan Hong Kong.

“Nelo Vingada berpengalaman luas dari segi taktikal. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan mempunyai penasihat seperti Tan Cheng Hoe. Mereka telah berbincang dan saya berpendapat mereka sedang melakukan tugas dengan baik. ”

“Tugas saya adalah memberikan sokongan sepenuhnya. Ia bukan tugas mudah dan perubahan tidak akan dapat dilakukan dalam sekelip mata.”

“Ia perjalanan yang panjang. Kalau Nelo diberi tempoh dua tahun, Insya-Allah kita akan mula nampak peningkatan.” kata Subahan.

sumber: astro arena