Malaysia Asian Cup

Jurulatih Korea Utara anggap Malaysia lawan yang sukar

Jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen menegaskan dia menjangkakan perlawanan yang sukar apabila pasukannya akan bertemu dengan pasukan Malaysia pada kelayakan Piala Asia 2019 pada bulan Oktober.

Perlawanan ini pada asalnya dijadualkan berlangsung pada bulan Mac sebelum ketegangan politik dan kebimbangan keselamatan menyaksikan perlawanan ini ditangguhkan. Perlawanan itu kemudian dijadualkan semula untuk 8 Jun, tetapi sekali lagi ditangguhkan kerana isu-isu yang masih belum dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, bekas penyerang Norway, Andersen mengakui dia perlu memantau kekuatan lawannya dalam Kumpulan B terutamanya kekuatan pasukan Malaysia.

“Saya telah meneliti pasukan Malaysia dengan lebih dekat kerana kami buat pertama kali dijadualkan bermain menentang mereka,” kata Andersen.

“Saya telah melihat beberapa video perlawanan dan mereka bukanlah pasukan yang perlu dipandang mudah.”

“Saya telah mengetahui bahawa mereka mempunyai jurulatih baru dari Portugal (Nelo Vingada), dan ini merupakan langkah yang baik untuk mereka. Dalam perlawanan terakhir menentang Lubnan di Malaysia, mereka mendahului 1-0 untuk tempoh masa yang lama sebelum melepaskan dua gol di akhir perlawanan dan ia akan menjadi perlawanan yang sukar bagi kami di sana, ” katanya lagi.

Kedua-dua pasukan tidak dapat memulakan kempen mereka dengan permulaan yang terbaik, dengan Korea Utara mencatat keputusan seri 1-1 di Hong Kong, manakala Malaysia kalah 2-1 kepada Lebanon. Andersen menegaskan bahawa keempat-empat pasukan dalam kumpulan itu boleh melayakkan diri, walaupun negaranya boleh dikatakan pasukan pilihan kerana mempunyai barisan terkuat.

“Saya tidak fikir kami ialah pasukan pilihan,” kata Andersen. “Di dalam kumpulan kami, saya percaya bahawa semua pasukan mampu mengambil tempat kedua teratas. Sudah tentu, matlamat besar kami adalah untuk menjuarai Piala Asia dan kami sangat bersedia untuk melakukannya.”

Andersen kini berada di Bangkok ketika pasukannya menyertai Piala Raja di Thailand – kejohanan tahunan empat pasukan. Dia melihat kejohanan sedemikian sebagai penting dalam mempersiapkan pemain menghadapi negara-negara seperti Malaysia dalam perlawanan kompetitif.

“Bagi kami, ia sentiasa menarik untuk keluar dan bermain beberapa perlawanan,” kata Andersen.

“Tahun lalu, kami mengembara sekitar 10 kali untuk bermain perlawanan di Asia dan Asia Timur. Kami bermain menentang Filipina, kami bermain menentang Vietnam, kami bermain di Malaysia menentang Iraq dan di China menentang U.A.E. Ia sentiasa menarik untuk keluar dan bermain menentang pasukan Asia.”

“Tetapi kerana ini bukan tempoh FIFA, kami tidak mempunyai hampir 15 pemain. Pemain terbaik yang berpengkalan di Eropah dan Jepun tidak boleh datang dan lima pemain muda terbaik kami tidak bersama kami kerana mereka bermain di kejohanan di Pyongyang.”

“Kami berada di sini dengan pasukan kedua, tetapi ia bukan pasukan yang buruk. Ia akan menjadi sangat sukar untuk memenangi kejohanan, tetapi kami akan melakukan yang terbaik.” katanya.

Korea Utara kalah 3-0 kepada Thailand pada perlawanan pembukaan Piala Raja. Saksikan video sedutan perlawanan diantara Korea Utara menentang Thailand.