Luar Negara

Asean Super League (ASL) tidak dapat dilaksanakan

Setiausaha agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Windsor John mengesahkan bahawa penganjur liga ASL yang dicadangkan itu akan menamatkan usaha mereka untuk menjadikannya realiti.

“Mereka secara rasmi menulis kepada kami dengan mengatakan bahawa mereka tidak akan meneruskan ASL,” katanya kepada media ketika sidang akhbar antara AFC dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

ASL memerlukan kelulusan AFC sebelum ia dapat dilancarkan, dan John memberitahu dalam wawancara sebelum ini bahawa lampu hijau belum diberikan, kerana ASL perlu menunjukkan bahawa ia mampu menyusun perlawanan di bawah struktur AFC dan sekitar persaingan AFC.

Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan perkara itu apabila menyatakan kebanyakan ahli gabungan memberi alasan kesibukan kempen liga domestik negara masing-masing menjadi punca ASL tiada sambutan.

“Mesyuarat di Vientiane, Laos menyaksikan kebanyakan ahli gabungan AFF tidak bersetuju dengan cadangan menganjurkan ASL.”

“Banyak faktor menyebabkan ASL tidak berjaya dianjurkan tahun depan dan alasan paling utama adalah mengenai kepadatan jadual liga negara masing-masing.”

“Nampaknya idea penganjuran ASL terpaksa ditangguhkan lagi dan kemungkinan tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain saingan Piala AFF yang dijalankan secara dwitahunan membabitkan skuad kebangsaan negara serantau, kejohanan bola sepak di peringkat Asia Tenggara bakal dimeriahkan dengan penganjuran ASL yang dicadangkan bermula tahun depan dengan penyertaan pasukan berstatus kelab.

Cadangan Liga ASL itu diputuskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN (AMM) ke-44 di Bali, Indonesia pada 2011.

Mengikut perancangan, setiap negara akan menghantar maksimum dua pasukan dari liga masing-masing yang berlangsung selama lapan bulan.

“Kami di AFF sememangnya sentiasa berusaha mencari jalan terbaik untuk meningkatkan taraf dan mutu bola sepak di rantau ini dengan penganjuran ASL disifatkan sebagai idea paling bernas.

“Semua tahu sambutan Piala AFF (antara pasukan kebangsaan) cukup meriah. Kalau tak dapat dianjurkan sekarang, saya tetap berharap ASL dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” kata Azzuddin.

sumber: Harian Metro