Other Editions

T-Team FC sambar bekas penyerang skuad kebangsaan Cameroon

Bekas penyerang skuad kebangsaan Cameroon Yannick N’Djeng bakal mewarnai Liga Malaysia apabila disambar oleh pasukan T-Team dalam misi memantapkan jentera serangan bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2017.

Difahamkan kemasukan pemain berusia 27 tahun itu bagi menggantikan penyerang kelahiran Uzbekistan, Farhod Tadjiyev yang gagal mempamerkan prestasi terbaik walaupun pernah muncul penjaring terbanyak T-Team musim 2015 sebelum digugurkan akibat kecederaan.

Pengambilan pemain kelahiran Yaounde, Cameroon itu dibuat pada hari terakhir jendela kedua perpindahan pemain dan berharap kehadiran pemain ketinggian 187 sentimeter itu mampu menyelesaikan ketumpulan jentera serangan.

“Sebelum ini kita mengharapkan Farhod sebagai peledak utama pasukan sebagaimana dibuktikan ketika beraksi dalam saingan Liga Perdana pada 2015, namun pemain itu gagal menyerlah musim ini membuatkan kita mengambil keputusan untuk mengikat N’Djeng.”

“Harapan tinggi kami dengan kehadiran N’Djeng mampu menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan dan seterusnya kami ingin melihat kelibat pemain itu muncul peledak berbisa dalam kancah liga dan Piala Malaysia,” kata Penolong ketua jurulatih T-Team Mohd Azhari Salim

Selain pemain import baru itu, The Titans yang kini berada di tangga ketujuh liga Super dengan kutipan 16 mata turut mengikat tiga pemain tempatan di posisi tengah, Mohd Asrol Ibrahim dari Terengganu, Syed Sobri Syed Mohamad dari pasukan Melaka United dan kapten MISC-MIFA, Ooi Shee Keong.

sumber: Harian Metro