Malaysia Berita

Safiq akan membantu kami malam ini, kata Vingada

Ketua jurulatih Malaysia, Nelo Vingada berpendapat bahawa kehadiran Safiq Rahim mampu membantu skuad kebangsaan menunjukkan peningkatan di atas padang, apabila mereka turun menentang Korea Utara pada malam ini.

Skuad Vingada tewas 1-4 di tangan Korea Utara pada perlawanan pertama mereka pada hari Jumaat lalu, namun Safiq tidak bermain di dalam perlawanan tersebut selepas dilayangkan kad merah di Hong Kong pada bulan lepas.

Malam ini, kapten Johor Darul Ta’azim itu dijangka kembali ke dalam kesebelasan utama dan Vingada yakin dia mampu membawa perubahan di I-Mobile Stadium.

“Dia (Safiq) terlepas aksi pertama (berdepan Korea Utara) kerana penggantungan, tapi dia tetap berada dalam senarai pemain ke sini (Buriram) dan berlatih bersama kami.

“Safiq pilihan terbaik yang saya ada. Jadi, saya percaya kehadirannya dapat melakukan perubahan dalam permainan pasukan ke arah yang lebih baik pada perlawanan malam esok,” kata Vingada kepada Arena Metro.

Walau bagaimanapun, tiga pemain yang beraksi dalam perlawanan pertama dijangka akan terlepas dari bermain pada malam ini. Syamer Kutty, Fazly Mazlan dan juga S. Kunanlan akan direhatkan oleh Vingada selepas mereka mengalami kecederaan pada hujung minggu lalu.