Liga Super Malaysia

Vingada yakin Harimau Malaya mampu raih dua kemenangan ke atas Korea Utara

Ketua jurulatih Malaysia, Nelo Vingada berpendapat bahawa anak buahnya mampu menewaskan Korea Utara di Buriram sekiranya mereka memberikan tumpuan 100 peratus di atas padang.

Malaysia belum lagi memenangi sebarang perlawanan di bawah kendalian Vingada, namun bekas pengurus Northeast United itu optimis dengan peluang pasukannya untuk meraih kemenangan pertama pada hujung minggu ini.

“Ini adalah perlawanan keempat kami dalam Kumpulan B dan masih ada satu lagi slot ke pusingan akhir selepas Lubnan hampir pasti mara secara automatik,” ujar Vingada, menurut laporan Arena Metro.

“Segala-galanya terpulang kepada kami. Secara matematiknya peluang Malaysia, Hong Kong dan Korea Utara masih belum tertutup. Apapun kami perlukan kemenangan untuk merebut slot terakhir.

“Melihat kepada senarai pemain yang ada dan semangat tinggi mereka, saya yakin kami mampu mendapatkan kemenangan sulung dalam kempen kelayakan ini. Tapi, dengan syarat semua pemain memberikan aksi terbaik,” tambah Vingada.

Malaysia akan turun menentang Korea Utara buat kali pertama pada 10 November, manakala perlawanan kedua akan berlangsung pada 13 November. Kedua-dua perlawanan akan dimainkan di I-Mobile Stadium.