Malaysia Berita

Bolasepak Malaysia bakal mempunyai divisyen keempat?

Berita baik (atau buruk?) untuk peminat bolasepak Malaysia.

Menurut presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, Liga Malaysia mungkin menyaksikan penubuhan divisyen keempat, untuk berada dibawah Liga FAM.

Perkara ini disebut oleh Sathia dalam ucapan penutup Simposium PJBM yang diadakan baru-baru ini. Sathia turut berkata bahawa isu ini akan ditangani oleh Presiden FAM, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, dalam masa terdekat.

“Presiden akan mengadakan satu lagi liga yang dipanggil divisyen empat. Selepas Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM, ada lagi satu lagi liga di negara kita. Ini memberi peluang kepada jurulatih-jurulatih untuk mempraktikkan apa yang mereka belajar,” ujar Sathia, menurut laporan Stadium Astro.

Penubuhan divisyen keempat sudah tentu merupakan berita yang cukup positif kerana ia akan membuka peluang kepada lebih banyak pasukan dan pemain untuk melibatkan diri dalam kancah bolasepak tempatan.

Selain itu, ini juga bermakna bahawa lebih banyak kelab bolasepak sosial di Malaysia boleh dijadikan platform yang cukup penting untuk menghasilkan pemain.

Namun, antara masalah yang perlu diselesaikan adalah isu bajet. Kebanyakkan pasukan di Liga FAM mengalami masalah kewangan dan isu ini perlu diteliti secara telus untuk memastikan bahawa masalah tersebut tidak tumpah ke dalam divisyen keempat ini.

Apa pandangan anda?