Piala Malaysia Berita

Ini pasukan pilihan Khalid Ali untuk final Piala Malaysia antara JDT dan Kedah

Lagenda bolasepak Malaysia, Khalid Ali berpendapat bahawa Johor DT bakal menewaskan Kedah apabila kedua-dua pasukan turun berentap dalam final Piala Malaysia pada hujung minggu ini.

Kedah mempunyai pengalaman bermain dalam dua final Piala Malaysia (2015, dan 2016) namun Khalid berasa bahawa mereka mempunyai tugas yang cukup besar untuk menewaskan skuad kendalian Ulisses Morais di Stadium Shah Alam.

“Jika Kedah bijak mencuri peluang menghasilkan gol dan Johor DT melakukan kesilapan, pastinya ia mampu membuka ruang buat barisan Helang Merah mencetak jaringan dan mencipta kejutan,” Khalid Ali memberitahu Arena Metro.

“Kedah memiliki barisan pemain yang baik dengan deretan pemain muda berkualiti untuk melakukan ancaman agresif ke kubu lawan.

“Jika mereka tidak gugup dan mampu menutup kesilapan, tidak mustahil Kedah juga boleh meraih kejayaan. Namun untuk menang ke atas Johor DT, ia bukan tugasan mudah buat skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff pada saingan kali ini ,” tambah beliau.

Ini bermakna Khalid turut bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh Mario Gomez pada minggu lepas. Bekas ketua jurulatih JDT itu turut berpendapat bahawa pasukan lamanya terlalu kuat dan akan berjaya meraih kejuaraan Piala Malaysia pada hari Sabtu ini.