Piala Malaysia Berita

Bekas jurulatih JDT Mario Gomez beri ramalan untuk final Piala Malaysia

Bekas ketua jurulatih Johor DT, Mario Gomez berpendapat bahawa pasukan lamanya mempunyai elemen kekuatan istimewa yang mampu membantu mereka menewaskan Kedah dalam final Piala Malaysia minggu depan.

JDT belum lagi pernah memenangi Piala Malaysia sejak revolusi Tunku Ismail bermula beberapa tahun lepas manakala Kedah mempunyai pengalaman beraksi dalam final Piala Malaysia buat dua tahun berturut-turut. Namun, Mario masih berasa bahawa pasukan Southern Tigers are muncul juara pada 4 November nanti.

“Saya boleh katakan peluang kedua-dua pasukan 50-50 untuk jadi juara kerana mereka pasukan terbaik di Malaysia ketika ini. Kedah akan beraksi buat kali ketiga berturut-turut di final dan mereka juga juara bertahan, jadi dari segi pengalaman pasti memihak mereka,” ujar Mario Gomez kepada Berita Harian.

“Tapi JDT ada kekuatan tersendiri, mentaliti inginkan kemenangan, mentaliti sebagai juara ada dalam pasukan ini. Semangat mereka untuk menghadiahkan trofi buat penyokong setia boleh dijadikan faktor kejayaan kali ini.

“Perlawanan antara JDT dan Kedah sentiasa sengit, tak kira dalam apa perlawanan sekali pun. Kedah menang dalam perlawanan Piala Sumbangsih awal tahun ini, tapi untuk JDT tiada tekanan buat mereka,” tambah Gomez.

Malam ini, Kedah akan turun padang di Stadium Darul Aman untuk menentang Johor DT dalam perlawanan terakhir musim Liga Super 2017. Perlawanan malam ini sudah tentu akan memberi kita sedikit previu sebelum perlawanan final Piala Malaysia di antara kedua-dua pasukan minggu depan.