Liga Super Malaysia Berita

FMLLP bakal ambil tindakan terhadap Perak?

Perak FA mungkin dilanda masalah selepas Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berjanji untuk meneliti insiden yang berlaku selepas perlawanan Piala Malaysia di antara Perak dan Johor Darul Ta’azim malam semalam.

Mengikut laporan Berita Harian, seorang penyokong JDT cedera selepas terkena serpihan mercun di penghujung perlawanan tersebut.

Dalam kenyataan penuh yang dikeluarkan harini, FMLLP berkata: “Football Malaysia LLP (FMLLP) telah menerima makluman awal berkaitan insiden mercun yang mencederakan penonton di Stadium Perak, Ipoh selepas perlawanan Separuh Akhir Pertama TM Piala Malaysia 2017 yang berlangsung semalam.

“FMLLP akan meneliti semua laporan daripada pihak yang berwajib terlebih dahulu dan akan dimajukan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya.

“FMLLP juga komited untuk bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi sebarang tindakan susulan dari sudut ketenteraman awam dan memastikan keganasan bolasepak tidak lagi berulang di semua perlawanan akan datang termasuk perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2017 yang dijaduakan pada hujung minggu ini.”

Ini bukan kali pertama insiden buruk tercetus apabila kedua-dua pasukan ini berentap. Kebanyakkan perlawanan yang melibatkan Perak dan Johor DT, sejak beberapa tahun ini, selalu dilanda masalah keganasan.