Malaysia Liga Super Malaysia

Thiago jelaskan kenapa Perak mampu tewaskan Johor DT

Tonggak pertahanan Perak, Thiago Junior berasa bahawa Perak mempunyai peluang yang amat cerah untuk menewaskan Johor Darul Ta’azim dan mara ke final Piala Malaysia.

Pasukan kendalian Mehmet Durakovic itu akan turun berentap dengan JDT di pusingan pertama perlawanan separuh akhir mereka pada malam ini dan JDT sudah tentu menjadi pasukan pilihan untuk meraih kemenangan.

Namun, Perak merupakan pasukan yang sering berjaya mencipta kejutan apabila menentang JDT di laman sendiri. Mengikut statistik, The Bos Gaurus telah berjaya memenangi tiga daripada lima pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan di Stadium Perak.

“Jika ada pasukan yang boleh mengalahkan Johor DT adalah Perak. Kena pada harinya dan pemain Perak bermain dengan sempurna tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh menang pertemuan ini,” kata Thiago, menurut laporan Arena Metro.

“Kami hanya selangkah saja lagi ke final dan saya percaya rakan sepasukan juga memiliki azam dan keyakinan sama seperti saya,” tambah Thiago.

Kali terakhir Johor DT dan Perak bertembung, pasukan Southern Tigers muncul pemenang dengan skor 2-1 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos pada bulan Julai lalu.