Malaysia

5 penyerang Malaysia yang layak diberi panggilan oleh Nelo Vingada

Ketua jurulatih Malaysia, Nelo Vingada berpendapat bahawa kekalahan Malaysia di tangan Hong Kong berpunca dari ketiadaan penyerang tempatan yang berwibawa.

“Macam dapat dilihat malam ini, kami tiada penyerang tulen yang mana kebanyakan pemain sekadar memanaskan bangku simpanan dengan tonggak import menguasai saingan liga. Jadi, situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami biarpun kalau diikutkan kami mampu meraih sesuatu di sini,” kata Vingada, menurut laporan Arena Metro.

Walaupun skuad Malaysia dilanda nasib buruk apabila Hazwan Bakri, Shahrel Fikri dan juga Darren Lok terpaksa digugurkan atas faktor kecederaan, mungkin Vingada sebenarnya mempunyai pilihan lain untuk posisi tersebut?

1) N. Thanabalan

“Dia belum bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan.” Itu respons yang diberikan oleh Nelo Vingada ketika disoal mengenai kemungkinan N. Thanabalan diterapkan ke dalam skuad kebangsaan. Walaupun muda dan tidak mempunyai banyak pengalaman, Thanabalan jelas merupakan penyerang yang bekerja keras, selain mempunyai kebolehan menanduk bola. Dan jika kita melihat persembahan yang dia tunjukkan ketika Sukan SEA, mungkin Vingada sepatutnya memberi peluang kepadanya. Sikap dan keazamannya di atas padang adalah sesuatu yang kita jarang jumpa dikalangan pemain Malaysia.

2) Syafiq Ahmad

Bila kita bercakap tentang Syafiq Ahmad, memang tidak perlu mengulas banyak. Kebanyakan peminat Liga Super Malaysia sudah tahu tentang kebolehannya, berdasarkan persembahan yang dia tunjukkan bersama Kedah. Syafiq mempunyai kelajuan yang tinggi dan mampu mengalahkan benteng lawan dalam situasi ‘one-on-one’. Selain itu, Syafiq juga sering bermain dengan bagus untuk skuad B-23 negara. Malah, beliau turut menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 tahun, pada bulan Julai lalu.

3) Safee Sali

Jika Vingada mahu menggunakan penyerang yang lebih muda, memang wajar. Namun, apabila kebanyakan penyerang negara dilamun kecederaan, tidak salah untuk memanggil semula pemain ‘kuda tua’ seperti Safee Sali. Walaupun dia baru pulih dari kecederaan, kita tidak boleh memperkecilkan pengalaman Safee di peringkat antarabangsa. Cuba bayang jika kita mempunyai Safee untuk menjadi ‘titik tumpuan’ di bahagian serangan malam semalam?

4) Amri Yahya

Sama seperti Safee, Amri Yahya juga merupakan salah satu ‘kuda tua’ dalam kancah bolasepak Malaysia. Dan kali terakhir dia beraksi untuk skuad kebangsaan, Amri membuat dua kesilapan yang membenarkan Lebanon meraih kemenangan 2-1 ke atas Malaysia pada bulan Jun lalu. Namun, Amri turut mempunyai pengalaman beraksi di arena antarabangsa dan kebolehan beliau menjaringkan gol memang tidak boleh diragui.

5) Akhyar Rashid

Pemain Kedah ini jelas masih muda namun itu juga bermaksud bahawa Akhyar mampu bermain tanpa sebarang perasaan ketakutan di atas padang. Setiap kali dia beraksi untuk Kedah atau skuad Malaysia B-23 dan B-18, kita boleh lihat keinginan beliau untuk menyerang bertubi-tubi dan menjaringkan gol. Akhyar adalah pemain yang cukup positif diatas padang. Dalam situasi seperti malam semalam, skuad Malaysia pasti akan lebih berbahaya sekiranya Akhar berada di atas padang.