Malaysia Berita

#HKGMAS: “Jika ada rezeki, saya nak jaringkan gol sekali lagi” – Syazwan Zainon

“Saya nak jaringkan gol sekali lagi”

Itu respon yang diberikan oleh Syazwan Zainon apabila ditanya tentang perlawanan Malaysia menentang Hong Kong pada hari Selasa depan. Pemain sayap Kedah itu menjaringkan gol apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Hang Jebat pada bulan lepas, tetapi skuad kendalian Nelo Vingada hanya berjaya seri 1-1 dalam perlawanan tersebut.

Kali ini, Syazwan mahu membantu pasukan Malaysia meraih kemenangan penting di halaman pasukan lawan dan dia juga berharap dapat jaringkan gol sekali lagi.

“Saya gembira kerana berjaya menjaringkan gol ketika berdepan Hong Kong (5 September) dan menghargai kepercayaan diberikan jurulatih (Nelo Vingada) untuk beraksi dalam kesebelasan utama,” ujar Syazwan kepada Berita Harian.

“Untuk sekali lagi menjaringkan gol mungkin susah, terutama apabila bermain di gelanggang lawan. Namun dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil dan jika ada rezeki, saya mahu menjaringkan gol lagi.

“Bukan untuk diri sendiri tetapi untuk memastikan kemenangan buat pasukan negara,” kata tonggak lincah Kedah yang berusia 27 tahun itu,” tambah Syazwan.

Manakala, Nelo Vingada pula tekad untuk melupakan insiden yang berlaku di Stadium Hang Jebat pada bulan lepas. Sejurus selepas wisel penamat dibunyikan, Vingada dan beberapa pemain Malaysia seolah-olah mahu menyerang pengadil perlawanan, sebelum beberapa pegawai keselamatan menenangkan situasi tersebut.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan mahu fokus kepada pasukan yang akan bermain menentang Hong Kong nanti,” Vingada memberitahu Kosmo!