Berita Luar Negara

Live Streaming K League Classic: Suwon Bluewings vs Jeonbuk Motors (2PM KO)

Oleh Eugene Choi

Suwon Samsung Bluewings akan menjadi hos kepada saingan terkuat mereka, Jeonbuk Hyundai Motors dalam perlawanan yang sudah pasti menjanjikan aksi-aksi yang menarik, hari ini.

Kedua-dua pasukan mempunyai target yang berbeza di peringkat ini. Jeonbuk mahu mengukuhkan peluang mereka untuk meraih kejuaraan liga, manakala Suwon Bluewings sedang mengejar slot untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia untuk musim 2018.

Tetapi, Jeonbuk sudah tentunya akan memasuki perlawanan ini sebagai pasukan pilihan kerana Suwon mempunyai prestasi semasa yang tidak begitu memberangsangkan. Mereka hanya berjaya meraih dua mata dari tiga perlawanan terakhir, termasuk kekalahan 2-3 kepada Jeju United meskipun bermain sebagai pasukan tuan rumah.

Prestasi ini bukan berita yang mengejutkan kerana kecederaan yang dialami oleh penyerang utama mereka, Johnathan Aparecido da Silva, telah memberi impak yang negatif kepada bahagian ‘attack’ Suwon Bluewings.

Untuk perlawanan menentang Jeonbuk, beberapa pemain utama lain juga bakal terlepas atas sebab kecederaan dan penggantungan. Namun, kepulangan Cho Ji-hun dari program khidmat negara mungkin boleh memberi impak yang positif.

Pasukan Jeonbuk pula turut mempunyai prestasi semasa yang tidak begitu bagus. Mereka hanya mampu meraih empat mata dari tiga perlawanan terakhir, termasuk kekalahan 1-2 di tangan Sangju Sangmu. Namun begitu, mereka masih ‘favourites’ utama – bukan sahaja untuk memenangi perlawanan ini, tetapi untuk menjuarai K-League juga.

Eduardo Goncalves de Oliviera, Lee Dong-gook dan Kim Shin-wook akan menerajui bahagian serangan mereka untuk perlawanan ini. Jurulatih mereka, Choi Kang Hee, turut mengatakan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk melancarkan serangan bertubi-tubi dari ‘kick-off’.

Persoalannya, mampukah Suwon Bluewings cipta kejutan hari ini?