Malaysia Liga Super Malaysia

Apa jadi dengan kes gaji pemain Kelantan?

Presiden baru KAFA, Bibi Ramjani telah mendedahkan bahawa para pemain Kelantan akan menerima gaji mereka untuk bulan Julai dan Ogos, sebelum pertembungan Liga Super mereka menentang PKNS FC pada 27 September.

Usahawan batik itu akan menggunakan wang peribadinya untuk melunaskan bayaran gaji tersebut dan berharap bahawa ia akan memberi motivasi kepada para pemain untuk membantu mengekalkan status Liga Super mereka.

“Gaji pemain TRW akan dijelaskan sebelum perlawanan Liga Super menentang PKNS FC pada 27 September ini. Pembayaran itu membabitkan gaji bulan Julai kepada sebahagian pemain yang belum terima dan Ogos.

“Saya akan bayar menggunakan duit sendiri pada satu majlis yang akan diberitahu pada media nanti. Kita nak pemain bersemangat dan amat berharap untuk menang dalam dua baki perlawanan,” kata Bibi kepada Berita Harian.

Pasukan The Red Warriors sekarang berada di tangga ke-10 – tiga mata di belakang pasukan Melaka United dan hanya satu mata di hadapan pasukan Sarawak. Selepas menentang PKNS FC, Kelantan akan berkunjung ke Melaka untuk menentang pasukan tuan rumah dalam perlawanan penutup tirai Liga Super.