Liga Super Malaysia

8 pasukan bakal berentap dalam suku akhir Piala Malaysia 2017

Juara empat kali Piala Malaysia, Pahang dan Melaka United menjadi dua pasukan terakhir yang mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya saingan peringkat kumpulan, malam tadi.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang terpaksa bergelut sebelum mengatasi wakil Terengganu, T-Team 3-2, sekali gus mengesahkan kemaraan selaku naib juara kumpulan A.

Tiga gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Matheus Alves pada minit ke-39, Muhamad Nor Azam Abdul Azih minit ke-52 dan Yamil Romero pada minit ke-84 manakala dua gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Syed Sobri Syed Mohd pada minit ke-51 dan Abdoulaye Youssouf Maiga, selang empat minit kemudian.

PKNP FC yang sudah melayakkan diri ke suku akhir, muncul juara kumpulan A walaupun seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Melaka United pula mengesahkan tiket ke suku akhir selaku naib juara kumpulan C walaupun tewas 3-5 kepada UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Tiga gol Melaka United dijaringkan oleh Jeon Woo Young pada minit ke-32, Mohd Azinee Taib minit ke-55 dan Muhd Fauzi Rozlan pada minit ke-86.

Penyerang import dari Nigeria, Akanni Sunday Wasiu melakar jaringan hatrik untuk UiTM FC pada minit ke-12, minit ke-37 menerusi sepakan penalti dan gol ketiga pada minit ke-90 selain dua gol pemain import dari Korea Selatan, Do Donghyun pada minit ke-29 dan ke-72.

Juara bertahan, Kedah yang sudah mengesahkan tiket ke suku akhir, muncul juara kumpulan C setelah mengatasi Kelantan 2-0 di Stadium Darul Aman, hasil jaringan Sandro Da Silva pada minit ke-24 dan Ken Ilso Larsen pada minit ke-76.

Felda United pula mengiringi Perak ke suku akhir walaupun tewas 1-2 kepada pasukan berkenaan pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Perak, Ipoh.

Dua gol skuad ‘The Bos Gaurus’ dijaringkan oleh Mohd Nizab Ayub pada minit ke- 25 dan Shahrul Mohd Saad pada minit ke-79 manakala gol tunggal Felda United disumbangkan oleh Muhammad Danial Amier Norhisham pada minit ke-51.

Kuala Lumpur pula menewaskan PKNS FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil dua gol daripada Guilherme de Paula pada minit ke-47 dan ke-83, namun ia tidak membawa sebarang makna kepada kedua-dua pasukan yang sudah tersingkir daripada saingan ke suku akhir.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengatasi Selangor 3-1  di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk mengungguli kumpulan D.

Tiga gol skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Mohamad Ghaddar pada minit ke-15 dan ke-74 serta Gary Steven Robbat  pada minit ke-29 manakala gol tunggal Selangor dijaringkan oleh Rufino Segovia pada minit ke-27.

Terengganu dan Sarawak seri 3-3 pada satu lagi aksi kumpulan D di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu namun ia tidak membawa sebarang makna kerana kedua-dua pasukan itu sudah tersingkir daripada persaingan ke suku akhir. – BERNAMA