Sukan SEA

Pemain Malaysia Tidak Perlukan Motivasi Tambahan Hadapi Indonesia – Ong Kim Swee

Skuad bola sepak Sukan SEA Malaysia akan turun dalam perlawanan separuh akhir ‘menjamu’ Indonesia dan  meneruskan misi mara ke saingan akhir, seterusnya menjadi juara ibu segala pingat.

Ketua jurulatih Malaysia U22, Dato’ Ong Kim Swee, memberitahu pemain-pemainnya tidak memerlukan motivasi tambahan bagi menghadapi skuad Garuda Muda.

Beliau juga mengakui kedua-dua pasukan akan berada dalam prestasi terbaik apabila bertembung dalam saingan separuh akhir itu nanti. Tambahnya lagi, Indonesia telah memperlihatkan satu kredibiliti yang luar biasa untuk berada dalam kelompok 4 pasukan terbaik.

“Saya percaya semua pemain yang saya miliki tahu apa yang mereka inginkan. Tak ada motivasi yang perlu saya berikan kepada mereka untuk perlawanan ini, terutama dengan suasana di stadium nanti.”

Namun Dato’ Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya terlalu yakin  kerana sedar skuad Indonesia U22 ini juga mampu memberikan masalah besar kepada skuadnya.

“Kami akan memberikan fokus kepada perlawanan ini. Saya yakin setiap pasukan mempunyai strategi tersendiri yang telah disiapkan dalam setiap pertandingan”