Sukan SEA

Saingan Sengit 3 Pasukan Dalam Kumpulan B Ke Separuh Akhir Sukan SEA 2017

3 pasukan teratas dalam kumpulan B Vietnam, Thailand dan Indonesia masing-masing bersaing hebat untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Selepas tamat 4 perlawanan, Vietnam mendahului carta kumpulan B bersama  Thailand dengan 10 mata dan diikuti oleh Indonesia 8 mata.

Kedudukan Semasa Kumpulan B Selepas 4 Perlawanan

Perlawanan Terakhir Kumpulan B Jadi Penentu

Menjelang perlawanan terakhir pada 24 Ogos nanti, ketiga-tiga pasukan masih mempunyai peluang untuk layak ke separuh akhir.

Thailand akan bertemu Vietnam di Stadium Selayang dan Indonesia akan menerima cabaran dari pasukan Kemboja di Stadium Shah Alam. 2 perlawanan ini akan menentukan pasukan mana yang akan layak ke separuh akhir Sukan SEA, seterusnya akan bertemu Myanmar dan Malaysia dari kumpulan A.

Thailand Tertekan, Vietnam Ada Kelebihan

Perlawanan Thailand dan Vietnam merupakan perlawanan tumpuan kerana Vietnam mempunyai kelebihan jaringan yang banyak berbanding Thailand seandainya keputusan seri. Manakala Thailand pula wajib menang untuk memastikan tempat ke separuh akhir.

Tekanan jelas kepada Thailand untuk memulihkan status mereka yang tercalar sejak kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula.

Indonesia Wajib Menang

Sebaliknya bagi Indonesia, berdasarkan prestasi semasa, mereka dilihat tiada masalah untuk menundukkan Kemboja dengan jumlah jaringan yang besar.

Pastinya Indonesia akan cuba menang dengan jumlah gol yang banyak untuk mengatasi perbezaan gol dengan Thailand dan Vietnam seandainya perlawanan Thailand & Vietnam berakhir dengan keputusan seri.

Selain itu, melihat kepada prestasi pasukan Kemboja yang berada ditempat tercorot, dengan hanya menjaringkan 1 gol, bolos 10 gol dalam 4 perlawanan, Indonesia jelas berada dalam keadaan yang agak selesa untuk menjaringkan gol yang banyak dalam pertemuan mereka esok.