Sukan SEA

Thanabalan tepati janji untuk meledak gol

Skuad Malaysia bawah 22 tahun mengesahkan tempat ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA apabila berjaya menewaskan Myanmar 3-1 dalam perlawanan ketiga kumpulan A.  Kemenangan itu bermakna Malaysia berpeluang untuk muncul sebagai juara kumpulan A dengan syarat mencatat keputusan sekurang-kurangnya seri ke atas pasukan Laos pada hari rabu ini.

Dalam perlawanan menentang Myanmar sebentar tadi, Malaysia bermula dengan garang apabila sering kali mencemaskan benteng pertahanan Myanmar melalui gerakan pemain sayap dan hantaran cantik daripada sebelah kiri dan kanan.

Beberapa percubaan berbahaya terutama sepakan percuma daripada Irfan Zakaria hampir mengegar jaring gol pasukan lawan namun ditepis oleh penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing.

Gol yang ditunggu-tunggukan akhirnya sudah tiba apabila penyerang pasukan Felcra FC, N Thanabalan menceriakan puluhan ribu penyokong yang memenuhi Stadium Shah Alam dengan menampan masuk bola sepakan Matthew Davies pada minit ke-34.

2 minit selepas itu, Stadium Shah Alam bergegar dengan sorakan padu penyokong Harimau Malaya apabila Safawi Rasid meledak gol kedua Malaysia selepas menanduk masuk bola hantaran S.Kumaahran.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia terus memburu jaringan gol untuk memastikan kedudukan yang lebih selesa. N. Thanabalan sekali lagi membuktikn ketajaman penyudah apabila menanduk masuk bola hantaran silang daripada Jafri Firdaus Chew untuk meletakkan Malaysia selesa dalam kedudukan mendahului 3-0.

Hasrat Malaysia untuk kekalkan keputusan tanpa bolos ternyata tidak menjadi kenyataan apabila kapten negara, Adib Zainuddin membuat kesilapan mudah sehingga menyebabkan Myanmar mencuri satu gol pada pada minit ke 86. Myanmar cuba bangkit memburu gol kedua namun ianya sudah terlambat apabila pengadil meniup wisel untuk menamatkan perlawanan.

Malaysia akan menentang Laos pada hari rabu ini.