Sukan SEA

Kim Swee sudah ada bayangan barisan terkuat menentang Myanmar malam ini

Pertemuan menentang Myanmar di Stadium Shah Alam malam ini dalam saingan Kumpulan A acara bola sepak sukan SEA itu cukup penting bagi menempah tempat ke separuh akhir, selepas Myanmar sudah pun layak hasil kemenangan ketiga ke atas Brunei 6-0, minggu lepas.

Meskipun sudah layak, pengendali Myanmar Gerd Zeise tetap mahu menurunkan skuad terbaik menentang Malaysia dan Kim Swee percaya anak buahnya sudah bersedia.

“Terpulang kepadanya (Zeise). Walaupun mereka sudah layak, kita hanya perlu tumpu kepada tugas kita. Kita harus cuba untuk mendapatkan tiga mata dalam perlawanan Isnin nanti dan kemungkinan besar kita akan layak bersama Myanmar.,” katanya kepada berita harian.

Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk mara ke separuh akhir apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Brunei dan Singapura dalam dua perlawanan awal Kumpulan A. Tiga mata perlu dicari dalam perlawanan malam ini bagi mengelak tekanan dalam perlawanan terakhir menentang Laos pada Rabu ini.

Kim Swee lega kerana semua pemainnya bebas daripada kecederaan, namun perlu mencari formula terbaik untuk memantapkan permainan selepas bergelut dalam perlawanan sebelum ini.

“Semua dalam keadaan baik, tiada yang cedera, harap semua pemain cergas sepenuhnya. Semua perlawanan sukar dan sememangnya Myanmar adalah lawan lebih sukar berbanding Singapura dan Brunei, tapi saya percaya pemain kita akan terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Salah seorang pemain, Safawi Rashid berkata, mereka tidak tertekan dengan harapan tinggi penyokong yang mahu melihat skuad negara memburu pingat emas di laman sendiri sejak kali terakhir melakukannya pada 1989.

“Kita sudah meraih dua kemenangan, tetapi belum layak ke separuh akhir. Memang dalam dua perlawanan itu kita bergelut untuk menang, tetapi saya percaya jurulatih ada strategi tersendiri untuk berdepan Myanmar.

“Bagi saya, kita tidak tertekan meskipun Myanmar sudah layak ke separuh akhir, kita bermain di tempat sendiri, jadi kita akan bermain seperti biasa cuma tidak boleh leka dalam setiap saat sekali pun,” katanya.

Sementara itu, penyerang skuad negara, N Thanabalan berharap ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee akan menurunkannya ketika menentang Myanmar di Stadium Shah Alam, malam ini.

Thanabalan yang terlepas aksi pembukaan menentang Brunei pada Isnin lalu akibat kecederaan lutut, menampilkan aksi cemerlang ketika diturunkan pada babak kedua menentang Singapura dengan meledak gol kedua dalam kemenangan 2-1 itu. Ia adalah gol ketujuh pemain berasal Seremban, Negeri Sembilan itu untuk skuad muda negara sejak disenaraikan oleh bekas jurulatih, Frank Bernhardt pada tahun lalu.

“Perasaan saya selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Singapura cukup menakjubkan. Saya harap akan diberi peluang bermain menentang Myanmar. Saya mahu menunjukkan kemampuan sebenar saya.”

“Bapa saya, S Nadarajah yang lumpuh daripada dada ke bawah, menonton siaran langsung perlawanan di televisyen dan mengucapkan tahniah kepada saya menerusi telefon selepas perlawanan.

“Menurutnya, dia bangga dengan jaringan saya dan memberitahu saya untuk membawa pulang pingat emas. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadikannya satu realiti,” kata Thanabalan.

sumber: Berita Harian