Luar Negara

Ronaldo digantung 5 perlawanan kerana tolak pengadil

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) telah menggantung bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo 5 perlawanan kerana tindakannya menolak pengadil ketika Real Madrid menang 3-1 ke atas Barcelona dalam aksi pertama Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi.

Pemain skuad kebangsaan Portugal itu gantung automatik satu perlawanan atas kesalahan kad merah yang diperolehnya, selain tambahan empat perlawanan berikutan reaksi tidak sepatutnya terhadap pengadil Ricardo de Burgos Bengoetxea.

Bintang Portugal itu turut didenda 3,805 euro (RM19,245) dan diberikan 10 hari untuk mengemukakan rayuan.

Jika rayuan itu gagal, Ronaldo akan terlepas pertemuan timbal balik Piala Super Sepanyol pada Khamis ini, selain empat perlawanan La Liga menentang Deportivo la Coruna, Valencia, Levante dan Real Sociedad.

Dalam kejadian itu, Ronaldo dikatakan sengaja merebahkan badan selepas dikasari Samuel Umtiti.

“Hukuman buang padang ke atas Ronaldo menyakitkan hati saya kerana sekalipun ia bukan penalti, kad yang diterimanya adalah keras,” kata bos Real, Zinedine Zidane sejurus perlawanan.

“Kami akan melihat apa yang boleh kami lakukan supaya dia boleh bermain Khamis nanti. Sejurus dia ditunjukkan kad merah, pemain itu (Ronaldo) menolak saya sedikit sebagai tanda dia tidak berpuas hati,” kata de Burgos Bengoetxea dalam laporannya.

Berdasarkan peraturan RFEF, kekasaran seperti itu boleh dikenakan penggantungan empat hingga 12 perlawanan, namun kes yang sama sebelum ini turut menyaksikan pemain dikenakan penggantungan empat perlawanan. – AFP