Sukan SEA

Kim Swee lega Malaysia kutip 3 mata berharga

Skuad Malaysia U22 mengutip 3 mata penuh dalam perlawanan bola sepak Sukan SEA dari kumpulan A apabila menewaskan Brunei 2-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. Kemenangan itu diraih selepas Myanmar yang terlebih dahulu mencatat kemenangan 2-0 ke Singapura, pada sebelah petang di Stadium Selayang.

Malaysia membuka jaringan seawal minit keempat perlawanan selepas hantaran silang daripada Matthew Davies disudahkan dengan sepakan voli menarik daripada Safawi Rasid.

Brunei melakar kejutan selepas lapan minit apabila Mohamed Zulkhairy Hady Razali yang melepasi perangkap ofsaid meledak gol penyamaan. Malaysia dilihat lebih banyak menggunakan Davies di bahagian sayap kanan untuk mengatur serangan dan hantaran silang pemain Pahang itu pada minit ke-19 sekali lagi berjaya memerangkap pertahanan Brunei, namun tandukan Safawi sedikit melepasi palang gol.

Masuk separuh masa kedua, Adam Nor Azlin kembali meletakkan skuad negara di depan selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Safawi pada minit ke-60. Malaysia turut mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi gagal disempurnakan, yang menyaksikan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, pengendali skuad Malaysia U22 menarik nafas lega apabila 3 mata penuh berjaya dikutip pada perlawanan pertama.

“Ia baru perlawanan pertama, pemain kita banyak mencipta peluang dan Brunei menyukarkan kita dengan bertahan dan serangan balas. Tapi kita berjaya mencatat kemenangan dan itu paling penting.

“Kita diperangkap kerana pemain tertidur selepas mendapat gol awal. Tapi kita berjaya bangkit dan paling penting tiga mata pada perlawanan pertama,” katanya kepada media selepas perlawanan itu.

Sementara itu, jurulatih Brunei Kwon Oh-son mengakui anak buahnya agak gementar bermain dalam perlawanan pertama dengan sorakan penyokong tuan rumah.

“Pemain saya berusaha keras dalam perlawanan ini dan berjaya menyamakan kedudukan. Tapi gerakan ‘set-piece’ Malaysia memang bahaya dan berjaya menghasilkan gol. Kami akan menilai semua kelemahan dan akan perbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Malaysia akan menentang pasukan Singapore pada hari rabu ini.