Liga Super Malaysia Berita

Kedah nafi ada “jembalang tanah” dalam pengurusan

Dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kononnya wujud “jembalang” di dalam Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) dinafikan sekeras-kerasnya oleh Setiausaha Kehormatnya, Dato’ Aminuddin Omar.

Beliau menegaskan bahawa berdasarkan pengalamannya bersama KFA sejak 2013, terbukti persatuan itu telah menguruskan pasukan dengan baik sehingga berjaya membawa pulang Piala Malaysia, Piala FA dan Sumbangsih.

Aminuddin berkata, tidak mungkin semua pencapaian itu dapat dicapai sekiranya wujud “jembalang” di dalam KFA sebagaimana didakwa pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

“Berkaitan dengan coach Tan yang pergi ke peringkat nasional, kononnya ada ‘jembalang’ di KFA, itu adalah satu kenyataan yang tidak betul. Pembangunan yang kita lakukan, pengorbanan yang kita berikan, contohnya boleh tengok. Saya masuk di KFA ini pada pertengahan tahun 2013 dan dalam masa empat tahun kita dah bawa balik tiga piala ke negeri Kedah.”

“Kalau kita tidak melakukan tugas kita dengan betul, mana mungkin kita boleh melakar kejayaan yang besar untuk negeri Kedah,” tegas beliau kepada Kedahnews.com di sini, tengahari semalam.

Mengenai tawaran yang diterima oleh Tan Cheng Hoe untuk menyertai skuad Kebangsaan yang diperkatakan sebelum ini, Aminuddin menjelaskan bahawa Kedah tiada sebarang masalah untuk melepaskan beliau demi kepentingan negara.

Namun begitu katanya, sudah tentu pihak KFA tidak dapat melepaskan Cheng Hoe serta merta ketika itu dan memerlukan tempoh lebih kurang sebulan untuk melepaskan bekas Ketua Jurulatih Kedah itu kepada Harimau Malaya.

“Kita dapat surat dari coach Tan, kita (KFA) diberi tempoh selama 3 hari untuk beliau mendaftar diri sebagai Penolong Jurulatih di FAM. Secara peribadi dan selaku Setiausaha Kehormat KFA, kita menganggap perkara ini agak mustahil pada kita untuk lepaskan coach Tan secara serta merta, kerana ia seperti tidak adil kepada KFA.”

“Jadi kita minta tempoh dalam masa sebulan lebih kurang untuk kita lepaskan coach Tan untuk ke skuad kebangsaan,” katanya kepada Kedahnews.com.

Kedah tidak pernah “kedekut” dan sentiasa rela menyerahkan pemain-pemain utamanya untuk menyarung jersi Harimau Malaya demi mengharumkan nama negara.

Tegas beliau lagi KFA sememangnya rela melepaskan sama ada jurulatih mahupun para pemain utama Lang Merah untuk menyahut panggilan negara menyarung jersi Harimau Malaya, walaupun ia sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pasukan

“Kita rela. Kita hantar juga demi negara. Walaupun seramai tujuh orang pemain kita dipilih untuk menyertai latihan skuad kebangsaan, lima orang untuk skuad B-22, kesemuanya 12 orang pemain yang kita lepaskan untuk menyertai skuad negara.”

“Kedah tidak ada ‘hanky panky’ di situ.. kita lakukan pengorbanan ini demi negara kita,” tegas beliau berhubung komitmen dan sifat patriotisme yang menebal Kedah terhadap kepentingan bola sepak negara.”

“Kita mohon kepada semua pihak, khususnya rakyat di negeri Kedah supaya faham situasi bola sepak negara kita dan kita minta semua bertenang,” ujar beliau.

Difahamkan wujud dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini yang menyebar propaganda tidak sihat dan menjejaskan imej KFA, yang mendakwa kononnya wujud “jembalang” di dalam persatuan tersebut. – Kedahnews.com